Sekilas
- Ayda Jebat jelaskan tajuk lagu terbaharunya, Kentoot, dipilih kerana mahu sesuatu yang unik dan mudah diingati.
- Ayda tegaskan lagu itu berkisarkan hubungan toksik dan minta orang jangan ambil serius maksud lain yang dikaitkan dengan tajuk tersebut.
- Suami Ayda, Nabil Mahir, ambil tanggungjawab penuh atas pemilihan tajuk dan terangkan maksud di sebalik nama Kentoot.
Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat tampil memberi penjelasan susulan tajuk lagu terbaharunya, Kentoot mencetuskan pelbagai reaksi dan perdebatan dalam kalangan netizen.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, pemilihan tajuk tersebut dibuat selepas perbincangan bersama pasukan produksi yang mahukan sesuatu yang kedengaran unik dan mudah diingati.
“Sebenarnya tajuk lagu itu tajuk lain, tapi bila kami kaji semula kami mahukan satu tajuk yang rare dan catchy.
“Kalau nak pilih toksik, selain toksik apa jadi? Saya macam ‘kentut’ lah,” katanya.
Bagaimanapun, Ayda menjelaskan bahawa pemahaman terhadap perkataan tersebut berbeza mengikut tempat dan budaya.
Malah, dia sendiri tidak mengetahui maksud lain yang dikaitkan dengan perkataan itu di sesetengah negeri.
“Maksud dari negeri lain itu saya tak pasti. Kalau saya sendiri, saya faham ‘kentooot’ tu apa.
“Bagi saya, jangan ambil perkara ini terlalu serius kerana tajuk lagu ini sebenarnya mengenai hubungan toksik, bukan apa yang berkaitan seperti yang ditulis atau difikirkan orang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ayda turut memohon maaf sekiranya tajuk lagu berkenaan dianggap kurang sesuai oleh sesetengah pihak.
“Kalau kurang sesuai, saya minta maaf. Tapi tajuknya memang Kentoot lah,” katanya ringkas.
Sementara itu, suami Ayda, Nabil Mahir tampil mengambil tanggungjawab penuh terhadap pemilihan tajuk lagu tersebut.
“Saya ambil tanggungjawab penuh sebab saya yang memilih nama itu. Tapi ia boleh membawa pelbagai maksud kerana nama dia Kentoot, bukan kentut.
“‘Toot’ itu adalah bunyi bleep. Jadi ‘Ken’ itu boleh jadi apa-apa, anda boleh pilih sendiri maksudnya. Sebab itu kami memilih nama tersebut,” katanya.
Sebelum ini, tajuk lagu Kentoot menjadi bualan ramai di media sosial apabila ada netizen mempertikaikan penggunaannya kerana didakwa membawa maksud berbeza di beberapa daerah di Sabah & Indonesia.