Skip to main content

Hiburan

Tak Tahu Isu Puteri Balqis & Mia Sara, Erma Fatima Nafi Drama Arahannya Jadi Punca Perbalahan - “Di Belakang Tabir, Saya Memang…”

Erma Fatima

Sekilas

  • Erma Fatima tidak mengetahui tentang perselisihan faham antara Puteri Balqis dan Mia Sara Nasuha serta menafikan drama arahannya menjadi punca konflik tersebut.
  • Erma menegaskan fokusnya hanya pada kualiti lakonan pelakon dan tidak terlibat dengan isu belakang tabir sepanjang penggambaran.
  • Beliau juga berpendapat bahawa kebebasan bersuara di media sosial adalah hak setiap individu, termasuk pelakon muda dan tua, mengikut prinsip masing-masing.

Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima memaklumkan dia tidak mengetahui mengenai perselisihan faham melibatkan dua pelakon, Puteri Balqis dan Mia Sara Nasuha.

Malah, dia juga menepis dakwaan mengatakan drama arahannya yang dilakonkan dua pelakon itu satu ketika dahulu menjadi punca kepada perbalahan tersebut.

Ujar Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, dia hanya memberi tumpuan kepada kualiti lakonan pelakon dan bukanlah perkara di belakang tabir sewaktu sesi penggambaran berlangsung.

“Saya lama tiada di Kuala Lumpur dan baru balik malam tadi. Jadi saya memang tak tahu tentang isu mereka.

“Saya memang tak tahu dari mana perkara itu tercetus. Rasanya tiada apa-apa yang berlaku di set ketika itu dan drama Akulah Balqis bukan puncanya.

“Bila saya jadi pengarah, saya hanya duduk di depan monitor. Apa yang saya tahu, mereka masuk set dan sampaikan watak yang sepatutnya. Di belakang tabir, saya memang tak tahu,” katanya kepada Gempak.

Erma berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Viu berjudul Walid yang bertempat di Saloma, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai tindakan sesetengah pelakon yang dilihat lantang bersuara di media sosial, pengarah berusia 58 tahun ini beranggapan perkara itu sudah menjadi kebiasaan dalam dunia hari ini.

Perjelas Erma, setiap individu itu mempunyai hak untuk berkongsi apa sahaja yang mereka inginkan di media sosial mengikut cara pemikiran mereka yang tersendiri.

“Saya tak rasa pelakon muda saja, orang tua pun buat perkara yang sama. Dunia sekarang adalah dunia digital. Media sosial macam diari kepada semua orang.

“Siapa nak menulis itu hak masing-masing, berdasarkan pemikiran mereka sendiri. Sama ada mereka rasa perkara itu perlu dikongsi atau tidak, itu keputusan masing-masing.

"Semuanya bergantung kepada prinsip manusia itu sendiri, sama ada nak kongsi semua perkara tanpa batas atau sebaliknya,” kongsinya.

Terdahulu, Puteri Balqis menyorot perhatian apabila secara tiba-tiba memetik nama Mia Sara di media sosialnya sambil mendakwa aktres tersebut cuba meraih simpati orang ramai dengan cara menangis di hadapan media ketika satu sesi temu bual.

Puteri Balqis juga mendakwa Mia Sara pernah membuli serta memburukkan ibunya di hadapan orang ramai sehingga meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Must-Watch Video

Advertisement