Skip to main content

Hiburan

Tak Hamak Konsert Percuma, Misha Omar ‘Battle’ Tiket Sama Macam Peminat Lain - “Tiada Istilah Saya Pergi Untuk…”

Misha Omar

Penyanyi, Misha Omar menegaskan kehadirannya ke konsert rakan-rakan penyanyi yang lain bukanlah atas faktor terpaksa mahupun cuba menjaga hati sesiapa. 

Jelas Misha atau nama lengkapnya Samihah @ Aishah Omar, 43, dia tidak pernah mengharapkan tiket percuma malah memilih untuk membeli sendiri tiket konsert rakan-rakan artis sebagai tanda sokongan terhadap industri seni tanah air.


“Saya hadir ke konsert rakan-rakan artis tanpa paksaan sesiapa. Tidak ada istilah saya pergi konsert untuk jaga hati kawan-kawan. Saya suka meraikan orang (rakan artis) dan saya sangat hormat kepada karya artis lain. Saya pergi konsert kerana saya suka seni.

 

“Saya hadir ke konsert rakan artis kerana mahu membangunkan nama industri, saya mahu tunjuk kepada peminat bahawa saya tidak hamak tiket percuma. Semuanya saya beli sendiri (tiket konsert), kita battle tiket sendiri,” katanya kepada Gempak. 
 

Misha berkata demikian ketika ditemui di sidang media DiA Misha Omar yang diadakan di Pusat Perdangan Ikon City, Petaling Jaya pada Selasa. 


Pada masa sama, pelantun lagu Break itu juga menegaskan bahawa dia tidak menyediakan tiket percuma walaupun buat ahli keluarganya sendiri, termasuk suami dan anak-anak. 

Advertisement

 

Meskipun ada yang berkecil hati, Misha percaya penjelasan mengenai kepentingan menyokong industri secara adil akan membuka mata ramai.

 

“Konsert saya sendiri tiada istilah untuk tiket percuma. Semua orang dalam keluarga saya termasuk suami, anak-anak abang, sepupu dan anak buah beli tiket konsert saya. Kali ini saya tidak akan beri tiket percuma. Saya mahu mereka hargai kerja keras saya. 

 

“Tidak adillah. Bukan saya keluarkan tiket untuk bayar gaji saya saja. Ini gaji semua orang dalam satu tiket. Sudah tentu ada yang merajuk tetapi bila saya jelaskan mereka akan faham,” ujarnya. 

 

Misha turut menjelaskan bahawa nilai sesebuah tiket bukan sekadar bayaran kepada penyanyi utama, tetapi untuk menampung keseluruhan kos produksi.
 

“Jumlah bayaran yang kita keluarkan bagi pembelian tiket itu adalah untuk semua orang. Daripada orang yang di depan (artis) sehinggalah orang yang di belakang (kru produksi) semuanya perlu dibayar gajinya. 

"Saya bukan ‘scammer’ yang membolot semua wang jualan tiket. Peminat mahukan konsert yang menarik, sudah tentu kami ada pasukan terbaik yang perlu dibayar,” jelasnya. 

Mengulas sokongan daripada rakan artis, Misha meluahkan rasa syukur kerana ramai selebriti tampil membeli tiket secara sah tanpa meminta percuma.

Antara yang memberikan sokongan terhadap persembahan showcase sebelum ini termasuk penyanyi Ernie Zakri, Syamel, Shila Amzah dan Nabila Razali. 

“Alhamdulillah, tiada rakan artis minta tiket percuma. Daripada showcase yang lalu, semuanya beli, Ernie, Syamel, Shila, Nabila siap shopping beli tiket bawa 10 orang. Saya rasa sebagai rakan artis mereka faham usaha yang kami lakukan untuk sampaikan satu persembahan. 

“Jadi mereka tidak pernah minta tiket, semuanya beli. Saya sangat gembira kerana saya juga melakukan perkara sama (beli tiket ) untuk menyokong rakan artis,” katanya lagi. 
 

Daripada orang yang di depan (artis) sehinggalah orang yang di belakang (kru produksi) semuanya perlu dibayar gajinya. Saya bukan ‘scammer’ yang membolot semua wang jualan tiket. Peminat mahukan konsert yang menarik, sudah tentu kami ada pasukan terbaik yang perlu dibayar,” jelasnya. 

Sekadar info, Misha Omar tampil dengan konsert solo, 'DiA Misha Omar' yang akan berlangsung pada 29 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Tiket telah mula dijual bermula 25 Julai 2025 jam 10 pagi, dengan harga bermula serendah RM288 hingga RM1,200, termasuk kategori eksklusif Royal Twin Seat dan VIP 1 yang hadir bersama akses istimewa ke sesi Meet & Greet dan Soundcheck Pass.

Tiket boleh dibeli menerusi Jiotix, manakala pembeli Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh berhubung menerusi WhatsApp di +6011 1660 1122 untuk pembelian khas.

Must-Watch Video

Advertisement