Skip to main content

Hiburan

Tak Berpihak Pada Sesiapa, Zain Saidin Minta Netizen Henti Kecam Uqasha & Kamal - “Kalau Jodoh Tak Mustahil Kembali Bersatu”

hgbfgbf

Sekilas

  • Pelakon Zain Saidin berkongsi kata-kata semangat kepada Kamal Adli dan Uqasha Senrose selepas pasangan itu sah bercerai talak satu.
  • Zain memahami kesukaran Kamal sebagai seorang bapa yang melalui perpisahan dan menasihatkan orang ramai agar tidak mengutuk atau bercakap buruk tentang mereka.
  • Beliau menawarkan diri sebagai pendengar dan berharap agar segala ujian ini membawa hikmah, serta tidak menolak kemungkinan jodoh kembali bersatu jika ditakdirkan.

Pelakon Zain Saidin menitipkan kata-kata semangat kepada rakan industri, Kamal Adli dan Uqasha Senrose selepas pasangan itu sah bercerai talak satu semalam.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Threads, Zain mengakui mengenali kedua-dua pelakon berkenaan, namun lebih rapat dengan Kamal meskipun hubungan mereka tidak terlalu dekat.

“Saya kenal dua-dua, tapi saya boleh katakan saya lebih rapat dengan Kamal Adli walaupun tak rapat mana. Nombor telefon pun saya tak ada.

“Video ini kalau Kamal tengok, saya nak cakap saya faham. Awak sudah cuba yang terbaik,” katanya.

Sebagai seorang bapa, suami kepada Rozita Che Wan itu berkata dia memahami perasaan Kamal yang terpaksa melalui perpisahan, apatah lagi melibatkan anak.

“Saya pun seorang bapa dan saya sangat faham perasaan bila ada anak. Awak sudah cuba pertahankan hubungan dengan Uqasha dan juga demi anak.

“Benda ini memang tak mudah. Saya nampak emosi awak, saya tahu betapa beratnya apa yang awak lalui. 

“Bila perkara macam ini berlaku, bukan senang nak jumpa anak bila-bila masa. Itu yang paling menakutkan,” katanya.

Dalam masa sama, Zain menegaskan dia tidak berpihak kepada mana-mana dan tidak mahu menentukan siapa betul atau salah dalam konflik rumah tangga pasangan itu.

“Saya tak berpihak kepada Kamal atau Uqasha. Saya tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Ini rumah tangga mereka dan kita tak perlu tahu semuanya.

“Apa yang penting, jangan kecam, jangan bercakap benda buruk. Cakap perkara yang baik dan doakan yang baik-baik,” katanya.

Zain juga percaya setiap ujian pasti ada hikmah dan tidak mustahil jodoh boleh kembali bersatu jika ditakdirkan Allah.

“Kalau ada jodoh, tak mustahil mereka boleh kembali. Kalau sesuatu itu dilepaskan dan ia kembali, mungkin itu memang milik kita.

“Apa pun, tetap kuat bro. Awak kuat, saya nampak awak kuat,” katanya lagi.

Mengakhiri videonya, Zain menawarkan diri untuk menjadi pendengar sekiranya Kamal memerlukan tempat meluah perasaan.

“Kalau awak perlukan seseorang untuk dengar cerita, saya ada. Tak perlu cerita pun tak apa. Saya ada untuk dengar.

“Apa pun, sujud dan berdoa kepada Allah. Hanya Dia yang boleh ubah segalanya,” katanya.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pukul 12.56 tengah hari semalam.

Sumber: Threads

Must-Watch Video

Advertisement