Pelakon Syamim Razi tampil mempertahankan keluarganya selepas mendakwa
ibunya menjadi mangsa fitnah berhubung isu penceraian antara penyanyi Nubhan Ahamad dan bekas isterinya, Dr. Fie Tawfek.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Syamim menegaskan bahawa dia tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan tuduhan palsu dan memanipulasi gambar-gambar melibatkan dirinya serta keluarga.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan fitnah serta memanipulasi gambar-gambar melibatkan saya dan keluarga.
"Segala gambar yang kini tular adalah gambar yang dicuri daripada simpanan peribadi media sosial saya sendiri, dan ada juga yang diperoleh daripada telefon individu lain tanpa kebenaran," tulisnya.
Advertisement
Menurut Syamim, gambar yang kini berlegar di media sosial sebenarnya dirakam dalam suasana biasa dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang isu peribadi, namun disalah tafsir sehingga menimbulkan fitnah bahawa ibunya menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.
“Gambar-gambar tersebut diambil secara beramai-ramai dalam situasi biasa, namun telah disalahguna dan dijadikan bahan fitnah seolah-olah menunjukkan bahawa mama saya menjadi punca kepada penceraian antara Nubhan dan Dr. Fie.
Saya ingin menjelaskan dengan tegas bahawa penceraian mereka langsung tiada kaitan dengan mama saya," tambahnya.

Syamim turut menegaskan bahawa hubungan keluarganya dengan kedua-dua pihak kekal baik kerana tiada apa yang perlu disorokkan, selain menasihati orang ramai agar tidak mencipta fitnah baharu sekiranya mereka dilihat bersama penyanyi itu pada masa akan datang.
“Selepas ini, jika terlihat kami bersama Nubhan sekalipun, jangan jadikan ia bahan fitnah baru. Kami masih mempunyai hubungan baik atas dasar kemanusiaan dan persahabatan, bukan kerana apa-apa yang disembunyikan, tetapi kerana kami tahu kebenaran sebenar.
“Kami tidak akan membuka mulut mengenai sebab sebenar perpisahan mereka. Jadi, hentikan gangguan terhadap mama saya melalui panggilan, mesej, atau cubaan mendapatkan cerita. Mama saya bukan orang yang sesuai untuk memberi kenyataan, dan kami tidak akan mengaibkan sesiapa," ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Syamim menyeru warganet supaya menghentikan budaya meneka dan menuduh tanpa asas yang boleh mengundang kesan buruk terhadap maruah serta emosi individu lain.
“Kepada semua netizen, berhentilah meneka, menuduh dan menulis komen seolah-olah anda paling tahu segalanya. Jangan menilai Nubhan begitu atau Dr. Fie begini. Beri ruang kepada mereka untuk selesaikan masalah dengan cara mereka sendiri.
“Apa yang mama saya, kakak saya dan saya tahu, biarlah kekal menjadi pengetahuan kami. Kami diam kerana hormat, bukan kerana salah.
Ini amaran terakhir. Hentikan fitnah, hentikan gangguan, dan hormati privasi semua pihak," tambahnya.
Terdahulu, kes permohonan pengesahan perceraian difailkan Nubhan terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mengejutkan ramai, apatah lagi penyanyi terbabit pernah menceraikan doktor gigi itu pertama kali pada 2017 iaitu ketika hamil anak pertama.
Hanya memaklumkan tiada persefahaman, timbul pula spekulasi adanya pihak ketiga namun disangkal penyanyi terbabit ketika ditemui media selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu.
Selepas itu tersebar pula beberapa gambar beramai-ramai Nubhan serta isterinya bersama beberapa individu termasuk seorang wanita yang dituduh intim dengan bapa kepada tiga anak itu.