Sekilas
- Bella Astillah dan Syed Saddiq dilihat menikmati hidangan asam pedas di Muar dalam momen spontan yang tular di media sosial.
- Syed Saddiq memayungkan Bella dengan tangan ketika berjalan di bawah cuaca panas, menarik perhatian ramai netizen.
- Pasangan ini baru sahaja mengikat tali pertunangan dalam majlis sederhana yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat.
Momen-momen spontan membabitkan pasangan tunang selebriti, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi perkongsian sebuah akaun @teamsaddiq di Instagram, pasangan tersebut dilihat meluangkan masa bersama menikmati hidangan di sebuah kedai asam pedas di Muar.
Lebih mencuri tumpuan, satu lagi video memaparkan tindakan Syed Saddiq yang ‘memayungkan’ Bella menggunakan tangan ketika mereka berjalan di bawah cuaca panas.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa gembira selain mendoakan kebahagiaan buat mereka.
“Bahagianya nampak mereka bersama, semoga yang baik-baik sahaja untuk mereka berdua.
“Act of service YB konsisten, tapi lepas tunang ini nampak lagi ‘sweet’. Nanti lepas kahwin rasanya kami semua kena pasang tangki oksigen.
“Seronok tengok mereka makan asam pedas, nampak santai dan bahagia,” komen beberapa netizen.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella Astillah selamat mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis sederhana yang hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat.
Dalam majlis tersebut, Bella tampil anggun menggayakan busana berwarna hijau sage rekaan Atelia Amani.