Skip to main content

Muzik

Suara Warisan Terus Bergema! Siti Nurhaliza Kembali Dengan Gema Bumantara! Album Sarat Elemen Tradisional & Cinta Pada Irama Melayu

Siti Nurhaliza Album Tradisional

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon seni tanah air dengan pelancaran album tradisional terbaharu berjudul Gema Bumantara.

Judul album ini membawa makna simbolik yang mendalam, melambangkan suara warisan Melayu yang terus bergema merentasi masa dan generasi.

Advertisement

Ia mengangkat keindahan muzik tradisional Melayu dengan sentuhan elemen kontemporari yang segar dan berjiwa.

Gema Bumantara merupakan kesinambungan kepada siri album tradisional terdahulu Siti yang menjadi tanda aras dalam kerjayanya, antaranya Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.

Menurut Siti, album ini adalah manifestasi cintanya terhadap warisan muzik tradisional serta tanggungjawabnya untuk memperkasa irama warisan bangsa agar terus dihargai generasi baharu.

“Album tradisional sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Semoga Gema Bumantara menjadi hadiah buat semua pencinta muzik warisan dan terus mengalunkan keindahan irama Melayu kepada seluruh dunia.

“Saya juga menjadikan ini sebagai salah satu tanggungjawab saya dalam bidang seni,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Siti menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada parapencipta lagu tradisional yang telah menyumbangkan karya sejak awal tahun ini.

Lebih membanggakan, album ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran (Domestik) 2.0 bagi memperkukuh usaha pemerkasaan karya seni tempatan serta memastikan muzik tradisional terus mendapat tempat dalam pasaran arus perdana.

Sokongan ini juga mencerminkan keyakinan bahawa muzik berteraskan warisan budaya masih mampu bersaing dalam industri moden yang dinamik.

Album Gema Bumantara mengandungi 10 buah lagu baharu, hasil gabungan bakat hebat daripada komposer dan penulis lirik seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan dan Danish Norr.

Turut terlibat adalah Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan serta Siti sendiri.

Lagu-lagu yang menghiasi album ini ialah Kumbang Bunga (duet bersama Lesti), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya.

Proses penghasilan album ini mengambil masa hampir setahun merangkumi fasa pencarian lagu, penyusunan muzik, rakaman vokal dan produksi akhir yang dilakukan dengan penuh ketelitian serta sepenuh jiwa oleh seluruh pasukan produksi Album Gema Bumantara yang diterbitkan bersama oleh SN Legacy Sdn. Bhd. Siti

Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn.Bhd. kini boleh dinikmati di semua pelantar digital utama bermula 28 Oktober 2025.

Album edisi fizikal dijangka akan dilancarkan pada Januari 2026 bersempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.

Must-Watch Video

Advertisement