Suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad iaitu Ahmad Shah Rizal Ibrahim menafikan dakwaan kononnya dia menyembunyikan wang tunai berjumlah RM1.3 juta milik isterinya.
Menurut Ahmad Shah Rizal, tuduhan tersebut tidak berasas kerana wang itu merupakan hasil usaha bersama antara dia dan arwah semasa hayatnya.
Advertisement
“Wang tersebut ialah hasil usaha bersama saya dan arwah isteri semasa hayatnya. Bahkan, saya sendiri secara sukarela mengisytiharkan keberadaannya semasa mesyuarat keluarga selepas pemergian Allahyarham.
“Sebagai menghormati mahkamah, saya telah memindahkan RM1.3 juta itu ke dalam akaun bank pentadbir pusaka yang dikelolakan bersama saya dan anak tiri.
“Dakwaan saya makan harta anak yatim atau melarikan hak mereka adalah fitnah yang mula ditularkan sebelum saya diberikan perintah mahkamah,” katanya.
Ahmad Shah Rizal ditemui ketika sidang media khas mengenai isu wang tunai milik arwah Faziani di Aperture Café, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).
Katanya lagi, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terus menyebarkan fitnah berhubung perkara itu di media sosial.
“Saya telah arahkan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang kali kedua bagi mempertahankan nama baik saya.
“Untuk makluman, saya juga telah saman beberapa pihak pada tahun 2022 atas fitnah yang sama dan kini hanya menunggu keputusan mahkamah pada Januari 2026.
“Langkah sama akan diambil supaya tiada pihak terus memanipulasi isu ini untuk kepentingan sendiri atau kandungan media sosial,” katanya.
Sementara itu, peguam Ahmad Shah Rizal, Khairunnasriah Abdul Salam daripada Tetuan Zaidah Abdul Salam & Co. berkata segala keputusan mengenai wang tersebut hanya akan dibuat selepas urusan harta sepencarian selesai.
“Segala-galanya perlu ikut proses perundangan termasuk keputusan berkaitan wang tunai itu.
“Kita tunggu hal harta sepencarian selesai barulah isu RM1.3 juta itu diputuskan. Buat masa ini tiada mana-mana pihak boleh menyentuhnya,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan Ahmad Shah Rizal mengemukakan penjelasan bertulis berhubung kegagalan memulangkan wang RM1.3 juta seperti diperintahkan pada 13 Ogos lalu.
Namun, dia mendakwa tidak menerima surat rasmi mengenai arahan itu dan menjelaskan bahawa wang tersebut masih dalam simpanannya serta belum digunakan.
Untuk rekod, Allahyarham Faziani meninggal dunia pada 18 Mei 2019 selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.
Usahawan itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya cedera.
Kemalangan tragis itu berlaku pada bulan Ramadan ketika pasangan tersebut dalam perjalanan untuk menyampaikan sumbangan kepada anak-anak tahfiz.