Sekilas
- Rosland Othman, suami pelakon Miera Liyana, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia pada 2021.
- Dia didakwa di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM500,000 dengan syarat tambahan termasuk penyerahan pasport dan laporan bulanan ke Suruhanjaya Sekuriti.
Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Khamis atas satu pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), lima tahun lalu.
Rosland Othman, 53, yang juga suami pelakon, Miera Liyana membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tujuh anak itu didakwa (ketika itu) pengarah Sarawak Consolidated Industries Berhad melakukan kesalahan bawah perenggan 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 diberikan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia.
Ia berhubung hal ehwal syarikat itu, suatu perbadanan yang disenaraikan, di mana pernyataan palsu itu terkandung di dalam ‘Interim Financial Report on Consolidated Results for the Quarter Ended 30 June 2021’.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 30 September 2021.
Dia dituduh mengikut perenggan 369(b)(B) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama.
Seksyen itu membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Hashley Tajudin tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin dengan alasan kes tersebut termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun beliau berkata, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke ibu pejabat SC sekali setiap bulan sehingga kes selesai," katanya.
Bagaimanapun, peguam, S Shastidaran yang mewakili lelaki itu merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.
Menurutnya, anak guamnya menanggung tujuh anak hasil daripada dua perkahwinan serta dua warga emas iaitu ibu kandung dan ibu mentuanya.
"Anak guam yang telah diisytihar sebagai muflis pada 2023 juga menghidap penyakit kencing manis, ‘glaucoma’ serta masalah saraf.
“Saya mohon mahkamah membenarkan anak guam diikat jamin dengan jumlah yang rendah dan munasabah," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 7 Mei ini.
Sumber: Sinar Harian