Pelakon, Yusuf Bahrin meluahkan rasa bimbang sebaik sahaja mengetahui isterinya yang juga merupakan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, kini ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel selepas kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan antarabangsa awal pagi Khamis.
Menurut Yusuf, kali terakhir dia berbual dengan Zizi ialah sekitar jam 1.40 pagi waktu Malaysia menerusi panggilan video.
Advertisement
“Dia telefon beritahu lega sangat dapat mandi sebab sepanjang sebulan mereka hanya guna air laut sahaja.
“Dia juga beritahu sudah bersedia dan minta saya doakan yang baik-baik.
“Ya Allah, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya saat dimaklumkan. Rasa dunia saya gelap, tak tahu nak cakap apa. Tetapi saya reda dan bangga dengan perjuangan isteri saya,” katanya seperti dilapor AWANI.
Lebih menyentuh hati, Yusuf berkata, Zizi turut memohon maaf dan menghalalkan makan minumnya sepanjang bergelar isteri sebelum talian ditamatkan.
Dalam perkembangan sama, Yusuf memaklumkan dia menerima panggilan daripada Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) sekitar jam 8.30 pagi.
Panggilan itu memintanya untuk hadir ke pusat berkenaan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai isterinya.
Lapan rakyat Malaysia termasuk Zizi kini disahkan ditahan selepas kapal Sirius dan Alma yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza dipintas tentera Israel pada malam 1 Oktober waktu Gaza.
Maklumat itu dikongsikan menerusi akaun rasmi Sumud Nusantara Official yang turut menyiarkan rakaman video terakhir Zizi sebelum pelayaran.
Dalam video itu, Zizi memperkenalkan dirinya sebagai warganegara Malaysia serta menegaskan bahawa misi flotila tersebut bersifat aman, tanpa keganasan dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
Zizi turut merayu kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendesak Israel menjamin keselamatan semua sukarelawan serta menuntut pembebasan segera tanpa syarat.
Selain Zizi, beberapa aktivis lain seperti Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Farah Lee, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli turut tampil dalam rakaman sebelum kapal mereka dipintas.
Tiga lagi rakyat Malaysia iaitu Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil turut ditahan selepas Kapal Alma yang mereka naiki dipintas pada jam 9.44 malam.
Sumber: AWANI