Skip to main content

Hiburan

Suami Dedah Ella Konsisten Beri Bantuan Kepada Golongan Memerlukan Termasuk Rakan Artis Secara Senyap - “Kalau Tak Hebah Lagi Banyak Pahala…”

vvv

Sekilas

  • Ella sudah lama aktif dalam kerja kebajikan secara rahsia tanpa menghebahkan kepada umum demi ganjaran pahala yang lebih besar.
  • Suami Ella mendedahkan dia konsisten membantu gelandangan, rakan artis susah, dan menyumbang bulanan kepada puluhan individu tanpa mereka sedar.
  • Ella akan mengadakan konsert mega Majlis Tertinggi Rockqueen pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sebahagian hasil tiket disalurkan kepada badan kebajikan.

Ratu rock negara, Ella sebenarnya sudah lama melakukan kerja kebajikan dan membantu golongan memerlukan tanpa menghebahkannya kepada umum.

Menurut Ella, dia lebih selesa merahsiakan segala kerja amal yang dilakukan kerana percaya ganjaran pahala lebih besar jika tidak diumumkan.

“Kalau tak uar-uarkan, lagi banyak pahala,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Suami Ella, Kapten Azhar Ghazali, turut mendedahkan isterinya memang aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan sejak dahulu.

“She’s an activist… dia menyokong perkara-perkara positif dan mahu perubahan dalam dunia ini.

“Dia bukan buat sebab konsert nak dekat, bukan untuk publisiti. Ella memang konsisten,” katanya.

Bukan itu sahaja, Azhar mendedahkan isterinya juga aktif menghulurkan bantuan secara peribadi kepada gelandangan serta rakan-rakan artis yang ditimpa kesusahan.

Malah, Ella turut mempunyai mempunyai puluhan senarai individu yang menerima bantuan bulanan daripadanya secara rahsia.

“Benda-benda tu kita tak umumkan. Yang pergi ke Lubnan tu saja kita hebahkan.

“Tapi sekolah-sekolah seni, bantu gelandangan, bagi makanan… semua tu berjalan berterusan.

“Puluhan orang… dan mereka sendiri tak tahu yang itu sumbangan Ella setiap bulan. Dia beri secara konsisten tanpa minta dikenali,” katanya Azhar.

Tambah Azhar, Ella juga pernah terlibat dalam misi kemanusiaan ke Lubnan, menyantuni mangsa perang Syria yang tinggal di khemah pelarian.

Selain itu, Ella juga bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membangunkan generasi muda dalam bidang seni muzik termasuk menyumbangkan alatan muzik dan memberi bimbingan di sekolah-sekolah seni.

Dalam perkembangan lain, Ella akan mengadakan penganjuran sebuah konsert mega berskala gergasi berjudul Majlis Tertinggi Rockqueen.

Konsert yang dianjurkan Hitman Solutions dan Rockqueen itu bakal berlangsung pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, lokasi sama yang pernah menyaksikan detik bersejarah dalam karier Ella.

Mengangkat tiga nilai kemanusiaan, konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi sebuah gerakan yang mahu membawa mesej murni kepada masyarakat.

Setiap tiket yang dibeli turut disertakan dengan undian tabung sumbangan:

• Peace – Persatuan Cinta Gaza Malaysia

• Love – Yayasan Kebajikan Negara

• Rindu – Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air
 

Setiap undian akan menyalurkan RM2 kepada organisasi berkaitan.

Tiket berharga serendah RM39 sehingga RM499, dan akan mula dijual pada 8 Disember ini.

Must-Watch Video

Advertisement