Skip to main content

Hiburan

Sophia Albarakbah Terkilan ‘Amira Amir’ Ditonton Secara Haram - “Pelakon Pun Bayar Untuk…”

Sophia Albarakbah

Pelakon, Sophia Albarakbah mengakui kecewa kerana masih ada segelintir penonton yang tergamak menonton filem Amira Amir melalui aplikasi tidak sah atau ‘haram’. 

Kata Sophia, tindakan itu bukan sahaja merugikan pihak penerbitan malah ia menjejaskan masa depan industri perfileman tempatan yang bergantung kepada sokongan penonton melalui platform yang sah.

“Terus terang saya katakan, perkara seperti ini memang menyedihkan. Filem ini dihasilkan dengan usaha yang sangat besar daripada ramai pihak. Bukan hanya pelakon, tetapi juga kru produksi, pengarah, penulis skrip dan semua yang terlibat di belakang tabir yang bertungkus-lumus untuk memastikan naskhah itu dapat dipersembahkan dengan sebaik mungkin kepada penonton.

“Namun apabila ada yang memilih untuk menonton melalui aplikasi haram, seolah-olah segala usaha itu tidak dihargai. 

“Bayangkan, harga untuk menonton sebenarnya tidak mahal, sekitar RM15 sahaja. Malah kalau berkongsi dengan kawan-kawan pun boleh, tetapi masih ada yang memilih cara yang salah. Bagi saya, perbuatan itu memang sesuatu yang tidak wajar disokong,” katanya kepada Gempak. 

Dalam pada itu, Sophia turut menengaskan bahawa sokongan penonton melalui platform rasmi amat penting untuk memastikan karya tempatan terus berkembang dan mampu menghasilkan produksi yang lebih berkualiti pada masa hadapan.

“Ramai yang selalu berkata filem Malaysia tidak cukup bagus atau tidak setanding dengan karya luar negara. Tetapi jika karya tempatan sendiri tidak disokong dengan cara yang betul, bagaimana kita mahu memperbaiki kualiti itu?

“Kita mahu menghasilkan filem yang lebih baik, dengan produksi yang lebih besar dan kualiti yang lebih tinggi. Namun, semua itu memerlukan sokongan penonton. Jika orang ramai menonton secara cetak rompak, industri akan terus berdepan kesukaran untuk berkembang,” ujarnya.

Sophia juga percaya masih ada segelintir penonton yang mungkin tidak menyedari kesan perbuatan tersebut terhadap industri kreatif tempatan.

“Mungkin ada yang tidak sedar bahawa tindakan itu sebenarnya memberi kesan besar kepada industri. Mereka mungkin bukan sengaja mahu menjejaskan sesiapa, tetapi tidak memahami bahawa menonton melalui aplikasi haram bermakna kita tidak menyokong karya itu secara sah.

“Sedangkan ramai yang sanggup membayar langganan platform penstriman seperti Netflix. Jadi sebenarnya tidak ada beza untuk menyokong karya tempatan melalui platform yang sah,” tambahnya.

Sophia turut berkongsi bahawa pelakon sendiri juga tidak diberikan akses percuma untuk menonton karya yang mereka hasilkan.

“Perkara yang mungkin ramai tidak tahu ialah pelakon sendiri pun perlu membayar untuk menonton karya kami. Saya dan adik-beradik saya juga membayar untuk menonton filem yang kami sendiri lakonkan. Kami tidak mendapat kata laluan percuma atau akses khas.

“Malah kebanyakan pelakon dan kru juga melakukan perkara yang sama sebagai tanda sokongan terhadap hasil kerja yang dihasilkan bersama. Jadi kami berharap penonton di luar sana juga dapat melakukan perkara yang sama dengan menyokong melalui saluran yang betul,” jelasnya.

Terdahulu, pengarah filem berkenaan, Reen Emran, ada menegur segelintir warganet yang berkongsi informasi mengenai platform atau aplikasi tertentu di Internet atas tujuan menonton filem Amira Amir secara ‘haram’. 

Selain Sophia dan Zahiril, filem Amira Amir turut dibintangi Fezrul Khan, Zarynn Min dan Kartina Aziz ini bakal menemui penonton bermula hari ini di Astro First dan Sooka.

Anda mungkin berminat dengan

Brownies Bucket bersama Premium Hazelnut Chocolate Dipping ️

Brownies Bucket bersama Premium Hazelnut Chocolate Dipping ️

6 pek Popi Tisu Gantung 4 Lapisan 4 ply Air Cushion Tissues

6 pek Popi Tisu Gantung 4 Lapisan 4 ply Air Cushion Tissues

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

Sejadah baldu gebu tebal 5D

Sejadah baldu gebu tebal 5D

Lavaletta • Anastasia Orchid Flat Sandals Orchid Flower Slippers 1cm

Lavaletta • Anastasia Orchid Flat Sandals Orchid Flower Slippers 1cm

Must-Watch Video

Advertisement