Skip to main content

Hiburan

Sofia Jane Imbas Pengalaman Berlakon Di Hutan Hingga Lahirnya Nama Air Terjun Sofea Jane - “20 Minggu Berkhemah..Mak Tanya Bila Nak Balik…”

fsdfd

Pelakon versatil, Sofia Jane mengimbas kembali kenangan sewaktu penggambaran filem Cinta Kita (1995) yang secara tidak langsung menyebabkan namanya diabadikan pada sebuah lokasi pelancongan semula jadi, Air Terjun Sofia Jane, di Kemensah, Selangor.

Menurut Sofia, pengalaman menjalani penggambaran di kawasan air terjun itu antara yang paling mencabar dalam karier lakonannya, kerana ketika itu tiada kemudahan asas dan kru produksi terpaksa meredah hutan untuk ke lokasi.

Advertisement

 

“Orang nampak filem, tapi tak tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Bagaimana kami pergi ke lokasi itu… bayangkan, tempat itu tiada siapa yang menebang, tiada trek jalan pun,” katanya menerusi podcast Legasi: Sembang, Sambung!

Tambah Sofia, pengarah filem tersebut, Allahyarham Kamal Ishak, begitu komited terhadap visinya dan sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan hasil penggambaran mencapai standard yang diinginkan.

“Kamal Ishak suka lokasi itu. Kalau dia nak sesuatu tempat, tak kisahlah apa pun halangan, dia akan dapatkan juga.

“Zaman dulu, kita ada kren besar, lori teknikal, kru… dia juga bina set di kawasan air terjun itu. Jadi banyak kerja yang berlaku di situ,” katanya.

Mengimbau penggambaran yang berlangsung hampir lima bulan, Sofia mendedahkan mereka berkhemah di kawasan air terjun berkenaan lebih daripada 20 minggu.

“Saya ingat lagi, mak saya tanya bila nak balik. Tiada siapa yang akan dapat pengalaman seperti itu. Kami tidur di situ, mandi di situ, semuanya di lokasi. Ia satu kenangan yang takkan dilupakan,” ujarnya.

Sofia turut menambah, walaupun lokasi itu kini dikenali sebagai Air Terjun Sofia Jane, dia sendiri belum pernah kembali ke sana selepas penggambaran berakhir.

“Saya tak pernah ke sana sejak habis penggambaran itu, tapi saya rasa saya patut pergi.

“Bukan saya yang menerokai trail itu, tapi saya sangat bersyukur… kalau saya bukan pelakon, saya takkan dapat merasai pengalaman sebegitu. Ia satu nikmat, satu pengajaran hidup untuk teruskan kerja dengan hati,” katanya.

Sebagai rekod, Cinta Kita merupakan filem arahan Kamal Ishak bergenre cinta dan drama yang ditayangkan pada tahun 1995, dibintangi oleh Sofia Jane dan Arman Graseka.

Filem itu turut melonjakkan populariti kawasan tersebut hingga dikenali dengan nama Air Terjun Sofia Jane, bersempena adegan romantis lakonannya di situ.

Menerusi perkembangan lain, Sofia bakal muncul dalam filem Malam Terlarang arahan Nurhanisham Muhammad (Labu)

Malam Terlarang turut dibintangi Shasha Abedul sebagai Mawar, Zul Ariffin (Omar), Sabri Yunus (Mokhtar), Normah Damanhuri (Mak Noni), Haneesya Hanee (Pamakbul) dan Hasnul Rahmat (Haji Wahid).

Naskhah terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold Sdn. Bhd itu. itu dijadualkan tayangan pada 30 Oktober ini.

Must-Watch Video

Advertisement