Skip to main content

Hiburan

Situasi Dunia Sukar Dijangka, Erra Fazira Anggap Emas Aset Paling Kukuh - “Nilai Itu Lebih Penting…”

Erra Fazira

Primadona Malaysia, Erra Fazira mengakui pelaburan emas kini menjadi antara keutamaan dalam perancangan kewangannya, khususnya ketika berdepan situasi ekonomi global yang semakin mencabar.

Menurut Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Chek, meskipun dirinya masih meminati emas putih untuk pemakaian harian, dia kini lebih cenderung memilih emas kuning kerana nilainya yang lebih kukuh sebagai aset simpanan jangka panjang.

“Di zaman muda-muda dulu, saya memang suka emas putih. Sampai sekarang pun untuk kegunaan harian saya masih memilih emas putih. Namun, bila melihat keadaan sekarang dan nilai emas yang semakin meningkat, saya lebih memilih emas kuning.

“Walaupun kedua-duanya adalah emas, tetapi nilai emas kuning itu lebih penting. Jadi sekarang ini, saya sudah ‘switch’ cara berfikir. Kalau ada duit, saya akan beli emas. Emas, emas dan emas,” katanya kepada Gempak.

Erra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan perasmian butik Amelia Jewellery di Shah Alam, pada Ahad.

Pelantun lagu Pertemuan itu turut menegaskan bahawa emas merupakan antara aset terbaik untuk dijadikan simpanan demi masa depan.

“Saya rasa semua orang perlu sedar dengan keadaan sekarang. Jika kita masih leka dan selesa dengan keadaan semasa, kita mungkin akan ketinggalan. Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku setahun dari sekarang.

“Saya sendiri mengikuti perkembangan dunia dan ia agak menakutkan. Sebab itu saya percaya emas adalah aset yang sangat kukuh dan stabil. Tunai memang penting, tetapi kita juga perlu mempunyai aset yang lebih kuat untuk jangka panjang,” jelasnya.

Erra turut menjelaskan kehadirannya ke majlis perasmian tersebut bukanlah sebagai duta rasmi, sebaliknya sebagai tanda sokongan terhadap jenama berkenaan.

Dalam pada itu, Erra juga tidak menolak untuk menjalankan kerjasama bersama Amelia Jewellery dalam rekaan emasnya sendiri untuk dijual kepada pembeli.

"Sebenarnya memang ada perancangan itu. Cuma dia agak kompleks sikit sebab saya sukakan design yang simple, and yet maybe Emelia pun ada design tertentu yang nak ditampilkan. Tetapi kami masih lagi discuss about it lah.

"Tidak mustahil InsyaAllah kalau kena dengan design tu kena dengan selera saya, I don't mind untuk bekerjasama," katanya lagi. 

Must-Watch Video

Advertisement