Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, meluahkan rasa syukur dan terharu melihat jualan tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, 'Passion, Sincere And Love' yang bakal berlangsung tahun depan.
Menurut Siti, dia tidak menyangka sambutan luar biasa daripada peminat yang begitu teruja untuk menyaksikan konsert berskala besar itu.
Advertisement
Malah kata Siti, kini hanya tinggal 2,000 tiket sahaja lagi dari 58,000 tiket yang sudah terjual.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana jualan tiket konsert ini hampir habis terjual. Setakat ini, lebih 58,000 tiket telah dibeli peminat.
“Hanya kira-kira 2,000 tiket bagi kategori VIP dan Platinum sahaja yang masih berbaki, itu pun tinggal sedikit sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Siti turut mengakui berasa gementar memandangkan konsert tersebut diadakan di lokasi yang besar dan berprestij.
“Sebenarnya, saya pun gementar dan beritahu pada Kak Rozi (pengurus), terdetik juga boleh ke buat konsert ini sebab 'back to back' juga konsert yang berlangsung di Malaysia dan kali ini, kita pilih Stadium Nasional dan bukan Stadium Axiata.
“Alhamdulillah, tak sampai sebulan maknanya dalam dua minggu sahaja tiket sudah terjual lebih daripada 50 peratus dan perkara itu membuatkan saya lagi gementar,” katanya.
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya, Gema Bumantara, yang berlangsung di TGV Pavilion Bukit Jalil, Selasa lalu.
Mengulas mengenai persiapan konsert, Siti berkata dia mahu memastikan setiap aspek persembahan berada pada tahap terbaik agar peminat berpuas hati dengan pengalaman menonton konsert tersebut.
Tambah Siti lagi, keutamaannya adalah untuk memberikan kualiti persembahan terbaik, termasuk dari segi sistem bunyi, pemilihan lagu dan keseluruhan pengalaman penonton.
“Insya-Allah, saya janji akan berikan yang terbaik dan tidak menghampakan peminat.
“Yang penting, penonton datang rasa puas hati, sistem bunyi yang bagus, beri kepuasan untuk mereka yang menonton konsert saya dan pilihan lagu yang menepati cita rasa peminat.
“Untuk senarai lagu biasanya standart, selalunya konsert hampir tiga jam dan dalam lebih daripada 25 buah lagu.
“Saya akan memulakan sesi latihan pada bulan November di minggu kedua,” jelasnya.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, 'Passion, Sincere And Love' dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Januari depan laris terjual dalam tempoh dua minggu.
Dalam perkembangan lain, Siti sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon seni tanah air dengan pelancaran album tradisional terbaharu berjudul Gema Bumantara.
Judul album ini membawa makna simbolik yang mendalam, melambangkan suara warisan Melayu yang terus bergema merentasi masa dan generasi.
Ia mengangkat keindahan muzik tradisional Melayu dengan sentuhan elemen kontemporari yang segar dan berjiwa.
Gema Bumantara merupakan kesinambungan kepada siri album tradisional terdahulu Siti yang menjadi tanda aras dalam kerjayanya, antaranya Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.