Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui impiannya untuk kembali membuat persembahan di Indonesia akhirnya tercapai.
Jelasnya, sepanjang dikenali di Indonesia dia bukan sahaja mendapat sokongan daripada peminat di Indonesia malah rakan-rakan artis juga banyak membantu menaikan namanya di sini.
Advertisement
“Impian saya untuk hiburkan peminat di Indonesia akhirnya tercapai. Saya cintakan anda semua.
“Sepanjang menjadi penyanyi, saya tidak hanya menerima sokongan peminat, malah rakan-rakan artis dari Indonesia membuat saya rasa dihargai," katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Nirmala itu
menyifatkan kehadirannya di festival muzik popular Indonesia, Pestapora 2025 Ada lah sebagai peluang untuk menyampaikan salam serta sokongan rakyat Malaysia kepada Indonesia.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata demikian susulan beberapa siri demonstrasi dan ketegangan yang berlaku di negara jiran itu baru-baru ini.
“Saya ingin mengingatkan bahawa muzik selalu menyatukan kita sejak hari pertama. Kita sama-sama saling menjaga. Saya bawakan pelukan hangat rakyat Malaysia untuk anda semua,” tambahnya.
Siti berkata demikian ketika membuat persembahan di pentas utama Festival Pestapora 2025 di Jakarta International Expo, pada Ahad.
Dalam persembahan berdurasi satu jam itu, Siti menyanyikan 11 lagu, termasuk karya yang melonjakkan namanya di pasaran muzik Indonesia, Betapa Aku Cinta Padamu.
Selain itu, beliau turut mempersembahkan lagu-lagu hit seperti Cindai, Nirmala, Bukan Cinta Biasa (duet bersama Afgan), Biarlah Rahsia serta lagu terbarunya, Menamakanmu Cinta.
Untuk rekod, kali terakhir Siti membuat persembahan di Indonesia adalah pada 2019 menerusi Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Istora Senayan.