Penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mendedahkan sentiasa mengamalkan zikir Bismillah 5 sebagai doa perlindungan buat diri dan keluarganya daripada perkara tidak baik.
Menurut Siti, amalan itu diajar oleh ibunya, Siti Salmah Bachik, dan sudah diamalkan sejak mengandungkan anak sulung, Siti Aafiyah, kira-kira tujuh tahun lalu.
Advertisement
“Kita semua tahu zikir Bismillah 5 ini banyak manfaatnya dan saya juga ada belajar daripada mak sebab ketika mengandung anak sulung dan saya teruskan sehingga ke hari ini.
“Pada saya, ia bukan sahaja untuk anak-anak kecil, tapi untuk kita juga. Malah, saya juga mengamalkan bacaan selawat dan doa pelindung seperti ‘tiga qul’ dan sebagainya.
“Bagaimanapun, bila sudah memiliki cahaya mata, mak memang selalu berpesan untuk baca zikir tambahan seperti Bismillah 5 sebagai ikhtiar untuk mengelak daripada perkara tidak diingini,” ujarnya.
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya, Gema Bumantara, yang berlangsung di TGV Pavilion Bukit Jalil, Selasa lalu.
Malah kata Siti, ibunya sentiasa menasihati seluruh ahli keluarga yang terbabit secara langsung dengan industri seni supaya berhati-hati dan mengamalkan zikir pelindung.
“Saya dengan ahli keluarga memang ada kumpulan WhatsApp. Mak memang selalu pesan kepada anak-anak dia terutama kita dalam industri ini yang sentiasa terbuka dengan apa sahaja.
“Kadang-kadang kita tak tahu apa dibuat, kita tersalah cakap. Jadi, mak ini akan selalu ingatkan, bukan mudah jadi anak seni,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kejadian yang menimpa anak saudaranya iaitu Amad, Siti berkata, dia enggan memanjangkan perkara itu, selain menyifatkan apa yang berlaku sebagai asam garam anak seni.
“Kisah itu pun sudah berlalu, saya pun tak mahu panjangkan lagi. Ini pengalamanlah, setiap orang ada pengalaman dan ini pengalaman yang Amad lalui, jadi perlu berwaspada, itu sahaja,” katannya ringkas.
Terdahulu, hantaran Siti berkaitan Bismillah 5 mencuri tumpuan ramai selepas dia berkongsi di Instagram miliknya.
Hantaran tersebut dibuat apabila Amad tiba-tiba rebah di pentas Grand Finale Talk To My Manager sebelum dibawa keluar untuk rawatan dan kembali meneruskan persembahan.
Kejadian itu mencetus pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan kononnya Amad diganggu unsur mistik atau disihir oleh individu tertentu.