Sekilas
- Sissy Imann bersyukur kerana berjaya menambat hati anak-anak suaminya dan menganggap peranan ibu tiri sebagai rezeki, bukan bebanan.
- Dia berkongsi bahawa penyanyi Sarah Suhairi adalah antara orang pertama yang tahu tentang perancangannya untuk berkahwin.
- Sissy dan Dr Zamir selamat diijabkabulkan dengan mas kahwin gelang emas bernilai RM6,840 dan pertukaran hantaran mengikut adat Baba dan Nyonya.
Penyanyi, Sissy Imann bersyukur kerana berjaya menambat hati anak-anak kepada suaminya, Dr Zamir Hilman Dr Hamzah.
Menurut Sissy, sebagai seorang isteri dia tidak menganggap status ibu tiri itu sebagai bebanan sebaliknya satu rezeki buat dirinya.
“Alhamdulillah, saya nampak satu perkara, pada saya macam rezeki sebenarnya untuk kita buat lebih banyak pahala.
“Saya sudah bertemu beberapa kali dengan anak-anak dan memang mereka memanggil yanda (bapa Sissy) dan bonda (ibu Sissy) ni sebagai nenda dan toknda dari awalnya.
“Cuma kepada saya sahaja mereka masih panggil sebagai aunty, tapi alhamdulillah semuanya okay sahaja,” ujarnya.
Sissy berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis resepsi bertemakan Baba dan Nyonya yang berlangsung di WG Glassbox Tamarind Square, Cyberjaya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Sissy juga memaklumkan bahawa teman rapatnya iaitu penyanyi Sarah Suhairi merupakan orang pertama yang tahu bahawa dirinya ingin menamatkan zaman bujang.
“Minta tips itu tak ada, tapi Sarah antara orang terawal yang tahu tentang perkara ini juga.
“Alhamdulillah. Dia tumpang gembira untuk saya dan apa sahaja proses yang perlu dilalui bila berkahwin dengan orang pernah berkahwin, ada juga kongsikan," katanya.
Untuk info, Sissy dan Dr Zamir selamat diijabkabulkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat lalu.
Sebagai mas kahwin, Sissy menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840.
Pertukaran hantaran turut disempurnakan mengikut adat, dengan tiga dulang daripada pihak Sissy dibalas lima dulang daripada pihak lelaki.
Antara hantaran yang paling mencuri perhatian ialah nombor plat khas kereta SIS5795’, gabungan simbolik nama Sissy serta tahun kelahirannya, 1995.