Skip to main content

Selebriti

Sibuk Bekerja, Diana Danielle Rancang Ambil Cef Peribadi Demi Anak-Anak - “Banyak Resume Hebat-Hebat Saya Dapat”

Diana Danielle cef untuk anak

Sekilas

  • Diana Danielle menerima banyak resume daripada cef berpengalaman termasuk yang pernah bekerja di luar negara selepas mencari cef peribadi di platform Threads.
  • Dia masih belum dapat mengambil cef kerana perlu buat pengubahsuaian dapur untuk keselesaan cef dan keluarganya terlebih dahulu.
  • Diana mahu cef yang faham asas nutrisi dan boleh sediakan makanan sihat mengikut citarasa anak-anak, sambil fokus pada perancangan masa depan keluarga.

Pelakon, Diana Danielle mengakui menerima beberapa resume daripada individu berpengalaman termasuk yang pernah berkhidmat di luar negara selepas tular ‘iklan’ dikongsikannya di platform Threads mengenai pencarian cef peribadi.

Bagaimanapun kata Diana, perancangan itu masih belum dapat diteruskan buat masa ini memandangkan dia perlu melakukan pengubahsuaian dapur demi keselesaan cef berkenaan termasuk keluarganya.

“Ramai sebenarnya yang menghantar resume, tetapi saya mahu ubah suai dapur terlebih dahulu sebab buat masa ini saya kurang selesa dengan susun atur sedia ada untuk menerima orang masuk dan memasak di rumah.

“Perancangan itu sebenarnya sudah ada sejak tahun lalu, cuma belum sempat dilaksanakan. Mungkin dalam beberapa bulan lagi,” katanya.

Diana berkaya demikian ketika  ketika penggambaran filem terbaharunya berjudul Cobra 7: Peluru Terakhir di Wisma Ali Bawal 2, pada Khamis.


Menurut Diana atau nama lengkap, Diana Danielle Danny Beeson, 35, dia mengambil keputusan mencari cef peribadi atas faktor kesibukan kerja, selain mahu anak-anaknya mendapatkan hidangan harian yang seimbang dan bernutrisi.

“Tahun ini saya memang agak sibuk. Kalau tahun-tahun sebelum ini mungkin saya masih boleh uruskan semuanya sendiri.

“Jadi sekarang saya hanya melihat kepada keperluan keluarga. Bukannya saya mahu mengambil cef profesional yang sudah bekerja di hotel bertahun-tahun walaupun memang ramai yang menghantar resume hebat,” katanya.

Tambah Diana lagi, antara resume diterima adalah daripada individu yang memiliki pengalaman luas termasuk pernah bekerja di Dubai.

Bagaimanapun, katanya, dia belum mampu mendapatkan khidmat cef berkenaan.

“Memang ramai yang sangat berpengalaman dan berkaliber. Ada yang pernah bekerja di Dubai dan sekarang mencari peluang di sini disebabkan situasi di sana.

“Resume mereka memang hebat-hebat, tetapi saya rasa belum mampu untuk mengambil mereka,” katanya.

Jelas Diana, dia mementingkan individu yang memahami keperluan nutrisi dan mampu menyediakan menu sihat mengikut cita rasa anak-anak.

“Apa yang saya perlukan sebenarnya adalah seseorang yang memahami asas nutrisi dan boleh menyediakan makanan yang sesuai dengan kehendak anak-anak dalam versi lebih sihat.

“Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa kerana sekarang saya banyak memikirkan masa depan anak-anak, termasuk perancangan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Sebab itu saya bekerja keras dari sekarang supaya apabila tiba waktunya nanti, semuanya lebih teratur kerana kami sudah merancang lebih awal,” katanya.

Terdahulu, Diana berkongsi hantaran di Threads sedang mencari seorang cef peribadi yang boleh menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anaknya.

Dalam perkembangan lain, Diana membintangi filem Cobra 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak yang turut menampilkan pelakon seperti Zahiril Adzim, Ahirine Ahidrudin, Amar Baharin, Hanna Aqeela dan ramai lagi.

Diterbitkan Yusrych Global dengan kerjasama D Ayu Pictures, filem berkenaan dijangka ditayangkan pada November atau pertengahan Disember tahun ini.

Anda mungkin berminat dengan

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

Must Watch Video

Advertisement