Sekilas
- Shila Amzah berkongsi cabaran mental dan fizikal yang dihadapi bintang cilik yang memulakan kerjaya terlalu awal dan membesar di hadapan umum.
- Beliau menegaskan sokongan seimbang penting untuk membantu bintang cilik melalui peralihan fasa kehidupan dengan baik, bukan hanya fokus pada kerjaya semata-mata.
- Shila juga mengingatkan bahawa kanak-kanak yang mula berkerjaya awal berisiko mengalami gangguan kesihatan mental kerana perkembangan otak mereka belum matang sepenuhnya.
Penyanyi terkenal, Shila Amzah berkongsi realiti pahit yang terpaksa dihadapi oleh bintang cilik yang memulakan kerjaya terlalu awal, khususnya mereka yang membesar di hadapan mata umum.
Menurut Shila, perjalanan tersebut memberi kesan besar terhadap perkembangan mental dan fizikal seseorang individu termasuk dirinya yang memulakan kerjaya sebagai penyanyi di usia muda.
“Sejujurnya, menjadi bintang cilik yang bermula terlalu awal, apatah lagi membesar di hadapan mata umum, seseorang itu sebenarnya kehilangan peluang untuk menjalani proses pembesaran yang normal.
“Perkara ini memberi kesan besar dari segi mental dan fizikal. Saya sendiri pernah mendapatkan rawatan dan berjumpa dengan doktor untuk perkara ini,” kongsinya kepada Gempak.
Shila berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media konsert 25 Tahun Shila Amzah yang bakal diadakan di Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC, pada 9 Mei depan.
Tambah penyanyi lagu Patah Seribu itu, peralihan fasa dalam kehidupan seorang bintang cilik boleh dilalui dengan baik sekiranya mereka mendapat sokongan yang seimbang dan menyeluruh.
“Apa yang ingin saya sampaikan ialah, dengan sokongan yang betul, peralihan fasa dalam kehidupan seseorang bintang cilik itu boleh dilalui dengan baik.
“Namun, jika sokongan yang diberikan hanya tertumpu kepada kerjaya semata-mata, peralihan itu akan menjadi sangat sukar buat mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Shila juga menegaskan dia tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada mana-mana pihak, namun mengakui realitinya bintang cilik yang meningkat dewasa sering disalah anggap sebagai lebih matang berbanding rakan sebaya.
“Saya tidak mengatakan kesalahan ini terletak 100 peratus pada satu pihak sahaja. Tetapi apabila seseorang bintang cilik itu mencapai usia sekitar 18 atau 19 tahun, mereka sering dianggap lebih matang berbanding rakan sebaya.
“Hakikatnya, apabila zaman kanak-kanak mereka ‘diragut’ lebih awal, kesannya pasti akan mengganggu kesihatan mental,” katanya.
Menurut isteri kepada pempengaruh Ubai ini, kesan tersebut juga boleh menyebabkan perkara kecil dalam kehidupan seharian menjadi beban emosi yang berat untuk ditanggung.
“Secara jujur, saya tidak menggalakkan kanak-kanak memulakan kerjaya dalam industri hiburan terlalu awal kerana perkembangan lobus frontal otak mereka masih belum matang sepenuhnya.
“Pada usia itu, mereka belum mampu membezakan sepenuhnya antara betul dan salah, dan cenderung mempercayai bahawa segala yang disusun serta ditentukan untuk mereka adalah yang terbaik,” ujarnya.