Pelakon Sherry Ibrahim mengakui dirinya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, Sherry atau nama lengkapnya Syarizad Ibrahim memilih untuk tidak tergesa-gesa dan menyerahkan sepenuhnya soal jodoh kepada ketentuan Allah SWT.
“Sejujurnya, saya sudah bersedia untuk berkahwin. Saya tidak mempunyai banyak masa, apatah lagi bila bercakap tentang zuriat memandangkan usia saya sekarang. Namun saya percaya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk saya.
“Saya bersabar dan menunggu kerana perkahwinan bukan satu pertandingan dan bukan juga satu trend. Bukan kerana orang lain berkahwin, kita juga perlu tergesa-gesa," katanya kepada Gempak.
Ditanya adakah persepsi 'high maintenance' dan pakej lengkap menyebabkan segelintir lelaki takut mendekatinya, Sherry tidak menafikan tanggapan itu.
“Bila orang sebut ‘pakej lengkap’, biasanya dinilai dari segi rupa, cantik, tinggi, kurus dan sebagainya. Mungkin juga ada yang takut untuk mendekati. Mungkin ada yang menganggap saya ‘high maintenance’, tapi sebenarnya tidak. Saya sudah bekerja sejak umur 18 tahun. Saya bukan jenis yang mahukan sesuatu tanpa usaha. Saya bekerja keras untuk apa yang saya mahukan.
“Saya pernah jatuh dan bangkit semula. Cuma untuk mendapatkan seseorang yang benar-benar jujur itu, saya rasa memang sukar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sherry juga berkongsi antara ciri-ciri lelaki yang menjadi pilihannya dalam perhubungan yang ingin dibina.
Menurut Sherry, dia mengimpikan seorang lelaki yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk dijadikan pasangan hidup, seiring dengan kesediaannya untuk membina rumah tangga.
“Saya mahukan seorang lelaki yang jujur. Kejujuran itu mesti ditunjukkan melalui perbuatan, bukan sekadar bercakap. Jangan hanya pandai berkata-kata kerana saya sudah tidak mempunyai masa untuk menunggu. Kalau lelaki itu benar-benar mahukan saya, dia perlu jujur dan menepati apa yang dijanjikan. Saya sudah terlalu biasa mendengar janji yang sama, tapi di mana tindakannya?
“Saya mahukan tindakan, bukan sekadar kata-kata. Jika lelaki itu benar-benar berani dan ikhlas, dia akan datang berjumpa ibu bapa saya. Jika sesuai, insya Allah, perkara itu akan terjadi,” tambahnya.