Sekilas
- Pelawak Shahrol Shiro menegur Harith Iskander kerana menggunakan bahan komedi yang mengandungi unsur body shaming dan sindiran fizikal dalam persembahannya.
- Shahrol menggesa Harith untuk menghasilkan bahan komedi yang lebih segar dan membina, sesuai dengan statusnya sebagai figura legenda dalam dunia komedi Malaysia.
- Shahrol menegaskan tegurannya bukan bersifat peribadi dan masih menghormati Harith, sambil menyeru agar komedi tidak lagi menggunakan bahan yang menghina fizikal individu.
Pelawak Shahrol Shiro tampil menegur rakan seindustri, Harith Iskander, susulan dakwaan persembahan komedi yang disampaikan pelawak legenda itu mengandungi unsur sindiran terhadap fizikal individu lain.
Menerusi perkongsian di Threads, Shahrol meluahkan rasa kecewa terhadap bentuk lawak yang disifatkannya sebagai ketinggalan zaman dan cenderung kepada ‘body shaming’ (mengejek fizikal seseorang).
Menurut Shahrol, Harith seharusnya tampil dengan bahan komedi yang lebih segar dan membina memandangkan statusnya sebagai figura berpengaruh dalam dunia komedi tempatan.
“Awak tu tahap legend comedian dekat Malaysia tapi takkanlah beat punchline yang awak buat dekat Malaysia masih beat lama? Minta maaf malu,” katanya.
Tambah Shahrol, lawak yang dibawakan itu lebih menjurus kepada bahan fizikal apabila individu tertentu disamakan dengan hantu dan syaitan yang menyeramkan.
“Menurut keyakinan saya, beat itu lebih kepada membahan fizikal ataupun body shaming. Dia disamakan dengan hantu dan syaitan yang menyeramkan.
“Komedi itu adalah lurus-lurus dan patah. Patahan daripada komedi itu adalah Datin Seri Rosmah,” jelasnya.
Shahrol turut menegaskan pendiriannya bahawa isu tersebut bukan bersifat peribadi atau tertumpu kepada individu tertentu semata-mata, sebaliknya melibatkan prinsip dalam dunia komedi.
“Saya tegaskan dekat sini, walaupun bukan Datin Seri Rosmah sekalipun saya akan bersuara tentang bab ini kerana ia adalah tentang lawak body shaming yang tidak patut,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelawak berusia 41 tahun itu turut membandingkan pengalaman ketika menyertai Maharaja Lawak Mega, di mana para peserta berusaha mengelakkan lawak berunsur menghina fizikal.
“Dulu kami peserta Maharaja Lawak Mega kalau boleh nak elak pasal isu body shaming. Termasuk Mamat Putih nak bahan dia pasal tinted itu pun tak sampai hati sebab saya rasa trend komedi sekarang bukan seperti itu,” katanya.
Mengakhiri teguran, Shahrol menegaskan dia tidak berniat untuk mencetuskan konflik dan masih menghormati Harith sebagai pelawak senior.
“Saya minta maaf kalau ada silap dan salah. Saya tidak mahu bergaduh lagi dengan awak dan saya hormat awak sebagai pelawak senior dekat Malaysia.
“Carilah komedi yang lebih membina dan membangun selain boleh memberi manfaat kepada generasi hari ini,” katanya.
Sebelum ini, Harith Iskander dilihat melakukan satu persembahan komedi yang menyentuh mengenai ‘hantu paling seram di Malaysia’ sebelum disusuli dengan sindiran berkaitan fizikal terhadap Datin Seri Rosmah.
Sumber: Threads