Sekilas
- Pereka fesyen Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil memilih untuk tidak mengulas tuntutan RM1.3 juta oleh pelakon Intan Najuwa kerana kes masih dalam proses mahkamah.
- Mereka menegaskan akan menghormati proses undang-undang dan berkongsi penjelasan apabila tiba masanya.
- Rizman Ruzaini yakin isu ini tidak menjejaskan sokongan pelanggan setia yang menjadi kekuatan jenama mereka selama lebih 20 tahun.
Pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung tuntutan RM1.3 juta yang difailkan oleh pelakon Intan Najuwa, memandangkan kes tersebut masih dalam proses mahkamah.
Menurut Rizman dan Ruzaini, setiap isu mempunyai dua sisi, namun mereka mengambil pendekatan untuk menghormati sepenuhnya perjalanan undang-undang yang sedang berlangsung.
“Sentiasa ada dua sisi dalam setiap cerita. Namun buat masa ini, kami tidak dapat memberikan sebarang komen kerana perkara tersebut masih dalam prosiding mahkamah.
“Kami menghormati proses perundangan dan akan berkongsi penjelasan apabila tiba masanya,” kata Rizman Ruzaini.
Pereka duo itu ditemui pada pertunjukan fesyen koleksi Raya 2026: Hikayat of Ratna dan Rebirth Vol 3 RR by Rizman Ruzaini yang berlangsung di Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Rizman Ruzaini menegaskan bahawa sepanjang lebih dua dekad membina nama dalam industri fesyen dan keusahawanan, setiap keputusan yang dibuat sentiasa berlandaskan kematangan serta profesionalisme.
“Sepanjang 20 tahun dalam industri fesyen dan keusahawanan, setiap pendekatan yang diambil perlu mencerminkan kematangan serta tanggungjawab.
“Kami memilih untuk menyelesaikan perkara ini secara profesional dan mengambil penyelesaian terbaik yang mampu dilakukan. Insya-Allah, apabila tiba masa yang sesuai, kami akan berkongsi cerita sebenar,” ujar mereka.
Menyentuh soal reputasi jenama Rizman Ruzaini, duo pereka itu berpandangan isu berkenaan tidak menjejaskan sokongan pelanggan setia yang selama ini menjadi tunjang kekuatan jenama tersebut.
“Apa yang membuatkan kami terus kukuh selepas 20 tahun adalah sokongan yang sangat kuat. Mungkin isu ini bukan sesuatu yang besar kepada peminat rekaan Rizman Ruzaini kerana sokongan mereka kekal sehingga hari ini,” tambah mereka.
Sebelum ini, pelakon Datin Intan Najuwa memaklumkan bahawa mahkamah telah memerintahkan duo pereka fesyen tersebut membayar hutang berjumlah RM1.3 juta kepada suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, selepas tiga tahun berdiam diri.
Keputusan itu dibuat susulan proses perundangan yang memihak kepada pihak plaintif berhubung tuntutan berkenaan.