Sekilas
- Pelakon Umie Aida mengucapkan tahniah dan doa kepada Erra Fazira yang baru sahaja berkahwin dengan Ezwan Zain pada 12 Disember 2025.
- Majlis pernikahan Erra berlangsung dengan penuh simbolik, termasuk pemberian mas kahwin berupa sepokok bunga emas dan cincin Cartier.
- Hubungan persahabatan Umie dan Erra pernah diuji sebelum ini, namun mereka telah bermaafan dan menyelesaikan konflik lama.
Pelakon Datin Seri Umie Aida menitipkan ucapan khas buat selebriti, Erra Fazira, yang baru sahaja bergelar isteri kepada pilihan hati, Ezwan Zain, pagi tadi.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, Umie memuat naik foto dirinya bersama Erra sambil menyampaikan ucapan penuh doa dan penghargaan.
“Bismillahirrahmanirrahim…Berkat hari Jumaat yang penuh barokah… tahniah Fazira & Ezwan.
"Alhamdulillah… tahniah Erra. Semoga rumah tangga sakinah, mawaddah warahmah. Aaamin” tulisnya.
Ucapan itu meraih perhatian ramai memandangkan kedua-dua figura popular itu dipercayai pernah melalui perselisihan faham sebelum ini.
Terdahulu, Primadona filem alaf baharu, Erra Fazira, 51, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Ezwan Zain, 44, dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan berlangsung sekitar pukul 9.19 pagi pada tarikh pilihan mereka yang cukup simbolik, 12 Disember 2025.
Erra dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin.
Bintang filem Sembilu itu menerima sepokok bunga emas seberat 102 gram sebagai mas kahwin, selain sebentuk cincin Cartier pada sesi pembatalan air sembahyang.
Hantaran pula merangkumi sepersalinan emas yang disatukan dalam satu talam yang ditandu.
Hubungan dua sahabat selebriti ini pernah menjadi perhatian apabila pada tahun 2019, Umie Aida memuat naik luahan hati mengenai dirinya 'dikhianati' oleh seorang sahabat baik.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, ramai netizen membuat andaian bahawa individu dimaksudkan ialah Erra.
Susulan itu, Erra akhirnya tampil mengakui pernah melakukan kesilapan sehingga melukai perasaan Umie.
Menurut Erra, ketika itu beliau pernah menghubungi Umie untuk memohon maaf dan menyelesaikan konflik yang melanda persahabatan mereka.