Sekilas
- Scha Alyahya dan suami, Awal Ashaari, menitikberatkan penjagaan batas pergaulan anak-anak sejak usia awal terutama bagi anak perempuan mereka yang semakin membesar.
- Mereka menetapkan peraturan ketat berkaitan penggunaan teknologi di rumah, termasuk had masa penggunaan gajet dan pantauan aplikasi media sosial.
- Scha percaya pendidikan awal tentang batas pergaulan dan kawalan teknologi penting untuk membentuk pegangan anak-anak agar tidak terlalu bebas apabila membesar.
Pelakon dan pengacara jelita Scha Alyahya menitikberatkan soal penjagaan batas pergaulan anak-anak sejak usia awal, apatah lagi apabila kedua-dua anak perempuannya semakin membesar.
Menurut Scha atau nama penuhnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, tanggungjawab sebagai ibu bersama suaminya yang juga pengacara, Awal Ashaari, menuntut perhatian serius dalam membentuk kefahaman anak-anak tentang perkara yang wajar dan sebaliknya.
“Bila anak perempuan semakin besar, sudah tentu ada batasan yang perlu dijaga. Sebagai ibu bapa kami melihat perkara ini dengan sangat serius.
“Bagi saya, soal batas pergaulan adalah perkara paling penting. Anak perlu tahu apa yang boleh dan tidak, termasuk soal sentuhan.
“Mereka perlu faham tentang menjaga batas sejak awal,” katanya.
Scha berkongsi pandangan itu ketika ditemui pada majlis pelancaran beg tangan Ayaaya koleksi The Nexx yang berlangsung di Club21Lab, Shoppes at Four Seasons Place, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Scha mengakui pengalaman bergelar ibu menjadikannya lebih peka dan berhati-hati, walaupun ada kalanya sikap tersebut dianggap keterlaluan oleh segelintir pihak.
“Sebagai ibu bapa, banyak perkara baharu yang saya dan Awal sendiri baru rasai. Ada kerisauan yang kadang-kadang orang lain anggap saya terlebih berfikir, tetapi bagi saya inilah naluri seorang ibu.
“Kalau kita ajar dari sekarang, insya-Allah mereka akan ada pegangan dan tidak terlalu bebas apabila membesar nanti,” ujarnya.
Tambahnya, pemantauan sejak awal amat penting bagi mengelakkan anak-anak berdepan kejutan budaya pada masa hadapan, terutama jika ibu bapa mengambil pendekatan terlalu longgar dalam mendidik.
Dalam pada itu, Scha turut berkongsi bahawa mereka menetapkan peraturan jelas berkaitan penggunaan teknologi di rumah, termasuk menghadkan akses kepada gajet dan media sosial.
“Telefon dan iPad hanya boleh digunakan pada hujung minggu. Lara hanya boleh pegang telefon atau iPad pada hari Sabtu dan Ahad.
“Dia tidak mempunyai akses kepada media sosial seperti Snapchat, Instagram atau Facebook. Aplikasi yang dibenarkan juga terhad dan sentiasa dipantau. Kalau saya rasa dia terlalu lama menghadap skrin, saya akan tutup akses tersebut untuk anak-anak saya.
“Teknologi memang sebahagian daripada dunia sekarang, tetapi yang paling penting adalah tahu dan jaga batas,” katanya.
Untuk rekod, Scha dan Awal mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Lara Alana yang kini berusia 12 tahun serta Lyla Amina, lima tahun.