Selepas memberi tumpuan kepada kerjaya muzik, penyanyi dan pelakon Aiman Tino kembali menghiasi kaca skrin dengan watak Razif dalam siri pendek romantik baharu Viu, 100 Days To Ask Your Crush Out.
Drama kolaborasi Viu dan NIVEA ini mula ditayangkan pada 8 September lalu dengan format 30 episod pendek yang penuh warna-warni, mengangkat tema keyakinan diri, keberanian remaja dan debaran cinta pertama.
Advertisement
Menurut Aiman, tawaran berlakon sebenarnya sudah lama diterimanya, namun sering bertembung dengan jadual persembahan. Kali ini, dia memilih untuk menerima kerana tempoh penggambaran yang singkat dan jadual yang lebih sesuai.
"Tawaran berlakon tu ada sebelum ni cuma tarikh shooting selalu clash dengan tarikh show yang dah disusunkan dari label muzik saya. Saya terima tawaran ni salah satu sebab waktu shooting yang singkat dan kena dengan masa yang sesuai.
"Selalunya saya akan sibuk pada hujung minggu, tapi tawaran ni saya terima pada hari biasa,” jelasnya.

Membawa watak Razif, seorang jejaka kampus yang menjadi pujaan ramai, Aiman akui pengalaman itu memberi ruang untuknya merasai kehidupan yang tidak pernah ditempuh kerana dia terus menceburi bidang seni sejak usia remaja.
"Saya senang membawa watak Razif ni kerana saya suka dengan karakter yang dibina. Ia buatkan saya rasa teringat waktu muda saya dan saya boleh rasakan experience jadi budak kolej sebab saya tak pernah masuk mana-mana kolej selepas ditawarkan jadi penyanyi pada umur 18 tahun.
"Watak Razif ni juga memberi satu pengalaman untuk saya rasa jadi student walaupun hanya dalam cerita," ujarnya.
Siri arahan Kye Fariz terbitan Anomalous Films Sdn Bhd ini turut menampilkan Harissa Adlynn sebagai Yana, gadis yang nekad menawan hati Razif sebelum malam prom universiti, serta Aniq Suhair sebagai Hafiz, rakan baik yang terjebak menjadi ‘wingman’ setia.
Mengulas lanjut, Aiman menambah, watak Razif juga mencabar kerana ia mengizinkannya menyalurkan sisi nakal yang jarang diperlihatkan.
“Watak Razif ni membantu saya mengeluarkan sisa-sisa nakal dalam diri saya yang tak pernah diperlihatkan di mana-mana, dan saya suka watak seperti ini daripada watak biasa yang pernah saya bawa sebelum ni,” katanya.
100 Days To Ask Your Crush Out meneruskan tradisi siri pendek berjenama Viu Malaysia seperti Tiada Seperti Leyla (Garnier), Persis Boneka (Safi), dan Andartu Kosmopolitan (Efferty), sekali gus menegaskan komitmen platform itu dalam menyajikan penceritaan dekat di hati penonton muda.
Aiman pula tidak menolak untuk terus bereksperimen dengan watak lain selepas ini.
“Jika ada tawaran berlakon watak yang berbeza, saya sedia untuk belajar memperluaskan watak-watak baru dan akan cuba sedaya upaya sampaikan kena dengan karakter dan emosi watak tersebut," tambahnya.