Pelakon, Kamal Adli akui sedikit gementar ketika hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding kes perceraian dengan isterinya, Uqasha Senrose, yang berlangsung pada Selasa.
Menurut Kamal, ini merupakan pengalaman pertama buatnya berada dalam situasi sebegitu dan dia hadir semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah.
Advertisement
“Macam hari tu tak dapat nak datang sebab saya ada masalah sikit. Saya ada kerja. Jadi hari ni saya datang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami, seorang ayah.
“Insya-Allah, doa baik-baik aje. Okey. Saya nervous ni sebenarnya. Saya tak pernah sampai tempat-tempat macam ni. Jadi saya tengah nak overcome perkara ini dan benda ni sangat tak best untuk saya.
"Saya tak happy pun untuk sampai sini sebenarnya. Just saya nak… nak selamatkanlah,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Kamal turut memaklumkan bahawa komunikasi antara dirinya dan Uqasha kini hanya dilakukan menerusi peguam.
“Saya dah kena block sejak 27 September, biasalah perempuan merajuk. Saya hanya boleh berkomunikasi menerusi peguam sahaja. So, terpaksa, kita orang hanya melalui surat-menyurat sahaja,” ujarnya ringkas.
Sebelum ini, prosiding pertama perceraian pasangan berkenaan yang dijadualkan pada 22 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan susulan ketiadaan pihak defendan yang ketika itu sedang menjalani penggambaran.
Rumah tangga pasangan selebriti itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat menjelaskan bahawa ia bukan berpunca daripada orang ketiga.
Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap bersama ibunya.
Sebelum ini juga, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet mengenai status hubungan mereka.
Untuk rekod, Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.