Skip to main content

Hiburan

Ryzal Ibrahim Kurang Senang Selebriti Gemar Canang Aib Rumah Tangga Di Media Sosial - “Gaduh Itu Biasa Cuma…”

Ryzal Ibrahim

Sekilas

  • Ryzal Ibrahim menegaskan bahawa masalah rumah tangga adalah perkara biasa dan cara menguruskan konflik mencerminkan kematangan seseorang.
  • Beliau mengingatkan supaya tidak membuka aib pasangan di media sosial kerana ia boleh merosakkan imej diri dan hubungan jangka panjang.
  • Ryzal menasihatkan supaya menyimpan masalah rumah tangga dalam rumah dan berpisah secara baik tanpa mendedahkan keburukan sesiapa.

Pempengaruh dan usahawan, Ryzal Ibrahim berasa bimbang melihat trend segelintir selebriti yang gemar berkongsi konflik rumah tangga secara terbuka di media sosial sehingga menjadi perhatian umum.

 

Menganggap masalah rumah tangga adalah perkara biasa, Ryzal atau Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim bagaimanapun berkata cara seseorang menguruskan konflik tersebut mencerminkan tahap kematangan.

 

"Ramai sekarang berdepan masalah rumah tangga, terutama rakan selebriti. Kawan-kawan saya pun ada melalui fasa sama. Bila diselidik, setiap satu ada sebab tersendiri.

 

"Kami sendiri tak lari daripada bergaduh. Itu biasa. Cuma jangan sampai buka aib. Perkara dalaman rumah tangga biarlah kekal dalam rumah.

 

"Ambil contoh idola kami, Erra Fazira. Orang mungkin kata beberapa kali berkahwin, bukan soal gagal, mungkin tiada jodoh. Tapi adakah kita tahu masalah sebenar beliau? Tidak. Itulah contoh paling matang,” katanya. 

 

Tambah Ryzal lagi, tindakan meluahkan keburukan pasangan ketika emosi sedang memuncak hanya memberi kepuasan sementara, namun membawa kesan buruk dalam jangka panjang.

 

"Membuka aib pasangan sama seperti mengkhianati individu paling dekat dalam kehidupan sendiri. Bila bergaduh, simpan. Tak perlu dedah. Tak ada kebaikan pun.

 

"Mungkin dapat tawaran kerja setahun dua, tapi masyarakat akan ingat kita sebagai pembuka aib sampai bila-bila.

 

"Itu pasangan kita, ibu atau ayah kepada anak-anak, orang tidur sebantal dan tahu kelemahan kita. Takkan sanggup dedahkan aib sendiri? Itu tak matang,” ujarnya.

 

Dalam masa sama, pempengaruh berusia 31 tahun ini mengingatkan tentang pendedahan aib bukan sahaja akan merosakkan imej diri, malah boleh menghakis rasa hormat dan kasih sayang dalam hubungan.

 

"Bila seorang mula dedah aib, hormat akan hilang. Dari situ, rasa sayang turut pudar. Nasihat saya, simpan masalah dalam rumah tangga.

 

"Jangan kongsi dengan media, malah ahli keluarga sekali pun kalau boleh elakkan. Kalau berpisah, berpisahlah secara baik tanpa buka aib sesiapa,” katanya. 

Must-Watch Video

Advertisement