Skip to main content

Hiburan

Rumah Tangga Rakan Artis Musnah, Raja Ilya Beri Pandangan Peribadi - “Pengakhiran Juga Satu Jawapan…”

Raja Ilya

Pelakon, Raja Ilya berpandangan rumah tangga bukan sekadar kisah cinta sebaliknya perjalanan dua jiwa yang penuh ujian, perbezaan dan pengorbanan.

Menurut Ilya, setiap perkahwinan membawa cabaran tersendiri dan tidak semua kisah yang berakhir dengan perpisahan bermakna gagal.

“Perceraian itu satu pilihan. Kadang-kadang pengakhiran juga satu jawapan, terutama bagi mereka yang terluka secara fizikal atau mental.

“Tapi kalau memilih untuk terus bertahan, kena tahu fasa selepas anak pertama bukan mudah. Wanita sering berharap suami memahami, membantu dan peka terhadap keperluan mereka. Tapi bila semua harapan disandarkan pada seorang manusia, akhirnya kita juga yang kecewa.

“Lelaki dan wanita itu berbeza. Cara fikir, cara sayang, bahkan cara meluah penat juga tidak sama. Jadi salah faham, rasa tidak dihargai, semua itu lumrah. Perkahwinan bukan tentang cinta yang sempurna, tapi kekuatan untuk terus berdiri walau kasih terasa goyah,” Katanya. 

Pada masa sama pengalaman membesar dalam sebuah keluarga yang berpecah menjadikannya lebih menghargai nilai keutuhan sesebuah institusi kekeluargaan.

Ilya juga menegaskan tiada siapa yang benar atau salah dalam rumah tangga kerana masing-masing berjuang dengan cara berbeza.

“Saya datang daripada keluarga berantakan. Anak-anak perlukan kedua-dua ibu bapa di bawah satu bumbung selama mana hubungan itu masih boleh diperbaiki. Jiwa, emosi dan masa depan mereka dibentuk daripada apa yang mereka lihat di rumah.Kalau boleh bertolak ansur, tahan ego dan pilih kasih sayang berbanding siapa betul atau salah, lakukanlah demi mereka. 

“Wanita bertarung dengan keletihan dan emosi. Lelaki pula menanggung peranan sebagai pelindung dan ketua keluarga. Tiada manusia sempurna. Apa yang membuatkan sesebuah perkahwinan kekal bukan kesempurnaan, tetapi kejujuran, usaha, dan saling mengingatkan tentang tujuan asal iaitu Tuhan, keluarga dan kasih sayang. Dari situ kita akan temui jalan pulang.

“Apa yang saya belajar, kalau bergaduh sampai menjerit sekalipun, sebelum tidur mesti salah seorang ketepikan ego dan ucap ‘maaf’. Dari situ, kita belajar untuk terus membina, bukan menghancurkan,” katanya lagi. 

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan peminat bersetuju dengan pandangan tersebut dan berterima kasih diatas peringatan yang diberikan. 

Sekadar info, Ilya  mendirikan rumah tangga dengan Trent Garret pada 2018. 

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Talita Love, 3, dan Royal Abraham, 1.

Semalam, dunia hiburan kembali kecoh apabila pelakon Uqasha Senrose hadir ke prosiding pertama kes perceraian dengan Kamal Adli di Mahkamah Syariah namun terpaksa ditangguhkan ke 28 Oktober depan selepas aktor itu tidak hadir.

Advertisement

Menurut peguam syarie mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd. Manaf, pelakon wanita itu memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan difahamkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu.
 

Must-Watch Video

Advertisement