Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan selebriti popular, Uqasha Senrose dan Kamal Adli akhirnya terjawab apabila pelakon wanita itu dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dijangka hadir ke mahkamah hari ini bagi menghadiri prosiding sebutan cerai kali pertama.
Advertisement
Menurut sumber terdekat, rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga.
Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.
Sebelum ini, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.
Namun, ketika ditemui di program MeleTOP malam tadi, Uqasha enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan memilih untuk mengunci mulut.
Untuk rekod, Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Sumber: Utusan Malaysia