Penyanyi dan pelakon yang kini menjawat jawatan wakil rakyat, Nafa Urbach juga menerima nasib sama seperti beberapa rakan seperjuangan apabila kediamannya dirosakkan sekumpulan penunjuk perasaan.
Insiden tersebut dialami Nafa sebagai tanda protes penunjuk perasaan yang masih tidak boleh menerima permohonan maaf yang dibuat oleh wanita itu di atas keterlanjuran kata dan sokongan mengenai dasar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Indonesia sehingga menimbulkan demonstrasi besar-besaran di republik tersebut.
Advertisement
Menerusi rakaman video yang tular, kediaman tiga tingkat milik Nafa yang berada di Bintaro, Tangerang Selatan telah diserbu penunjuk perasaan yang turut meninggalkan tulisan ‘dijarah’ atau rampasan.
Mengalami nasib serupa seperti Ahmad Sahroni, selain kediaman ranap dimusnahkan, barangan berharga di dalam kediaman wanita berusia 45 tahun itu juga dicuri.
Antara barangan yang diambil termasuklah kerusi, lukisan, barang elektronik, pakaian dalam hingga bantal.
Namun sewaktu insiden berlaku, Nafa tidak berada di rumah. Malah kediaman yang dirosakkan itu didakwa milik mantan suami Nafa.
Terdahulu kediaman ahli politik dan wakil rakyat Ahmad Sahroni serta Uya Kuya telah dirosakkan dan dipecah masuk dengan penunjuk perasaan ‘merampas’ barangan mewah mereka sebagai tanda protes.