Sekilas
- Rocketfuel Entertainment melancarkan tujuh lagu raya pelbagai genre dalam sebuah EP khas sempena Ramadan dan Syawal 2026, mengangkat tema kebersamaan dengan tagline ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’.
- Lagu popular termasuk ‘Rindu Raya’ oleh ALPHA yang mengisahkan kerinduan keluarga, ‘Kampung Kita’ oleh Wani Kayrie yang ceria dan ‘Raya Macam Raya’ kolaborasi Hael Husaini dan ALPHA dengan vibe M-Pop.
- Selain itu, terdapat lagu balada menyentuh hati oleh Dayang Nurfaizah dan lagu bertema realiti ‘Duit Raya’ oleh Sharul Kamal dan Mierul Aiman, semuanya membawa naratif berangkai dalam ‘universe’ kreatif Rocketfuel.
Bersempena Ramadan dan Syawal tahun ini, Rocketfuel Entertainment tampil dengan inisiatif istimewa menerusi pelancaran tujuh lagu raya yang merangkumi pelbagai genre, penceritaan dan emosi.
Daripada rentak rancak dan moden sehinggalah balada yang meruntun jiwa, setiap karya membawa identiti tersendiri namun tetap bersatu di bawah semangat kebersamaan selari dengan tagline Astro Salam Ramadan 2026, ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’.
Lebih menarik, kesemua lagu tersebut dihimpunkan dalam sebuah EP khas, sekali gus membentuk sebuah ‘universe’ raya tersendiri yang unik dan saling berkait di bawah payung Rocketfuel Entertainment.

Antara yang mencuri perhatian ialah ‘Rindu Raya’ nyanyian kumpulan ALPHA yang dilancarkan pada 21 Februari lalu.
Bernuansa pop dan berentak sederhana, lagu tersebut mengangkat tema kerinduan terhadap keluarga serta kampung halaman.
“Lagu ini memang berbeza daripada kebiasaan kami. Kami mahu tonjolkan sisi yang lebih tenang dan penuh perasaan. Rasa rindu pada keluarga itu sangat universal dan kami percaya ramai boleh relate dengan ‘Rindu Raya’,” kata ALPHA.
Sehingga kini, lagu berkenaan telah meraih lebih 200,000 tontonan di saluran YouTube Rocketfuel Network.
Sementara itu, Wani Kayrie kembali memeriahkan musim perayaan dengan ‘Kampung Kita’, kesinambungan kepada lagu tularnya sebelum ini, ‘Cak Cak Cekuk’.
Lagu tersebut mengekalkan elemen ceria dan melodi mudah melekat, berkisar tentang keterujaan pulang ke kampung termasuk bertemu insan tersayang.
“Saya suka lagu raya yang fun dan buat orang rasa hendak menari. ‘Kampung Kita’ ada vibe itu, tapi dalam masa yang sama ada kisah manis tentang perasaan rindu bila hendak jumpa orang yang kita suka,” ujar Wani.
Kolaborasi antara Hael Husaini dan ALPHA menerusi ‘Raya Macam Raya’ pula tampil sebagai lagu upbeat berwarna M-Pop, hasil ciptaan Hael bersama Iqie Hugh. Lagu tersebut menggambarkan keterujaan membuat persiapan raya agar segala kelengkapan Syawal sempurna.
“Apabila menjelang raya, kita memang mahu semuanya lengkap. Lagu ini menggambarkan semangat itu, apabila persiapan cukup dan kita bersama orang tersayang, barulah terasa kemeriahan sebenar,” kata Hael.
Dalam masa sama, Hael turut menghadiahkan single solo berjudul ‘Lagu Raya Untukmu’ sebagai tanda penghargaan buat peminat setianya.
“Lagu ini adalah hadiah istimewa untuk peminat yang sentiasa menyokong saya saban tahun,” katanya.
Tidak ketinggalan, ‘Duit Raya’ nyanyian Sharul Kamal bersama Mierul Aiman membawa mesej dekat dengan realiti masyarakat menerusi bait ‘ada duit takda duit, raya tetap raya’.
“Kami mahu lagu ‘Duit Raya’ jadi peringatan yang ringan tapi bermakna. Walau apa pun keadaan, raya tetap tentang keluarga dan kasih sayang,” jelas Sharul.
Mierul menambah, elemen rap dalam lagu tersebut memberi sentuhan moden selain menyampaikan mesej positif secara santai dan segar.
Bagi yang menggemari balada menyentuh hati, Dayang Nurfaizah tampil dengan ‘Senyum Gugur Di Hujung Doa’, hasil gubahan Hael Husaini bersama Iqie Hugh. Lagu tersebut berkisar tentang kerinduan terhadap insan tersayang yang telah pergi.
“Setiap kali raya, pasti ada yang terasa kehilangan. Lagu ini saya nyanyikan dengan hati yang tulus buat mereka yang merindui insan tersayang. Semoga ia menjadi teman dan penenang jiwa,” kata Dayang.
Sementara itu, Nadeera turut mencuri perhatian menerusi ‘Restu Raya’ yang menampilkan susunan melodi menarik dan kisah dekat dengan pengalaman ramai.
“Saya mahu lagu ini menjadi lagu yang mudah dinyanyikan oleh semua, tidak kira usia. Raya itu tentang kebersamaan dan saya harap lagu ini dapat menyatukan semua,” ujar Nadeera.
Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, setiap lagu yang dilancarkan tahun ini mempunyai identiti jelas dan membentuk naratif berangkai dalam ‘universe’ kreatif tersendiri.
“Kami mahu setiap lagu raya tahun ini membawa identiti yang jelas. Ada yang ceria, ada yang reflektif dan ada juga yang moden. Inilah realiti masyarakat kita yang berbeza latar belakang dan rasa, tetapi bersatu apabila tibanya Syawal,” katanya.