Sekilas
- Riezman Khuzaimi menyambut Aidilfitri secara sederhana bersama keluarga di Shah Alam dan Wangsa Maju.
- Dia bertanggungjawab memasak hidangan tradisional seperti ketupat dan rendang pada malam raya, serta sering berkongsi resipi di TikTok.
- Riezman akan muncul dalam filem terbaru berjudul Malaikat Malam yang akan ditayangkan pada 26 Mac ini.
Pelakon, Riezman Khuzaimi memaklumkan suasana Aidilfitri yang disambutnya tiada banyak perbezaan memandangkan dia hanya meraikan sambutan tersebut secara sederhana.
Menurut Riezman, dia juga sudah lama tidak beraya di kampung memandangkan kebanyakan ahli keluarganya kini menetap di sekitar Lembah Klang.
“Saya raya macam biasa saja. Raya pertama di Shah Alam dengan isteri dan anak-anak.
“Selepas itu pergi rumah ayah dekat Wangsa Maju, jumpa adik-beradik. Tengah hari biasanya abang balik semula ke Shah Alam untuk bersama anak-anak pula,” katanya kepada Gempak.
Sungguhpun begitu, Riezman memaklumkan sambutan hari raya tetap disambut dengan meriah walau dalam keadaan bersederhana ditambah pula dia akan mengambil tugas memasak di malam raya.
“Kalau nak cakap soal rutin atau persiapan, sebenarnya malam raya yang meriah sebab saya tukang masak dalam keluarga.
“Selalunya saya yang akan ditugaskan untuk rebus ketupat, masak rendang dan sediakan nasi seperti nasi minyak tapi bergantung kepada permintaan keluarga.
“Tahun ini saya masih tengah fikir lagi nak masak apa, mungkin nasi dagang,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Malaikat Malam itu memaklumkan dia sememangnya minat memasak dan sering berkongsi resipi masakan di media sosial.
“Memang hampir setiap hari saya masak dan kongsi resipi di TikTok. Ramai yang tunggu resipi-resipi yang saya buat,” ujarnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Riezman bakal tampil menerusi filem yang bakal ditayangkan pada 26 Mac ini yang bertajuk Malaikat Malam.
Selain Riezman, filem yang mendapat sentuhan pengarah muda Nazifdin Nasrudin ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle, Que Haidar, Tracie Sinidol, Amir Nafis dan ramai lagi.