Penyanyi jelita Indonesia, Raisa akhirnya bersuara selepas sah memfailkan perceraian terhadap suaminya, pelakon Hamish Daud.
Menerusi hantaran di Instagram, pelantun lagu Usai Di Sini itu berkongsi luahan buat para peminat, disertai gambar bersama Hamish dan anak perempuan mereka, Zalina Raine Wyllie, di tepi pantai.
Advertisement
“Helo teman-teman, semoga kalian semua dalam keadaan baik. Setelah melalui banyak pertimbangan dan pemikiran panjang, kami memilih untuk menempuh jalan kami masing-masing,” tulisnya memulakan kenyataan.
Menurut Raisa, keputusan itu dibuat bersama selepas melalui tempoh panjang perbincangan dan refleksi peribadi antara mereka.
“Keputusan ini kami ambil bersama, dan telah cukup lama kami proses dalam ruang pribadi kami masing-masing, sebelum akhirnya berita ini sampai ke kalian.
“Sepanjang prosesnya, kami tetap saling menjaga dan berusaha memahami kebutuhan satu sama lain dengan sebaik-baiknya.”
Penyanyi berusia 35 tahun itu turut menjelaskan, meskipun hubungan mereka kini berubah, namun kasih sayang terhadap anak tunggal mereka tetap kekal.
“Kami berharap agar masing-masing dari kami dapat menemukan kedamaian dan terus bertumbuh: sebagai individu, orang tua bagi Zalina, dan pekerja profesional di bidang kami masing-masing.
“Hubungan kami tetap baik, meski berubah. Yang tidak akan berubah adalah cinta kami kepada Zalina.”
Raisa dalam masa sama turut memohon agar ruang peribadinya dihormati demi kesejahteraan anak mereka.
“Kami memohon pengertian teman-teman semua untuk ikut menjaga ruang pribadi kami, agar Zalina dapat terus tumbuh di lingkungan yang baik dan merasa aman.
“Ini terjadi bukan kerana kami menyerah, tapi kerana kami berusaha bijaksana.”
Hantaran itu turut menerima ribuan komen daripada peminat serta rakan artis yang mendoakan agar Raisa dan keluarganya terus tabah melalui fasa baharu kehidupan.
Sebelum ini, teka-teki rumah tangga pasangan berkenaan terjawab apabila Pejabat Agama Jakarta Selatan (PA Jaksel) mengesahkan Raisa telah memfailkan tuntutan cerai terhadap Hamish pada 22 Oktober lalu.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 September 2017 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Zalina Raine Wyllie.