Sekilas
- Sharifah Sakinah dan suaminya yang kini berada di Jepun tetap saling memahami dan menyokong kerjaya masing-masing walaupun berjauhan.
- Pelakon drama Sujud Terakhir Encik Norman ini menghargai sokongan suaminya yang membenarkan dia terus aktif berlakon walaupun perlu berjauhan untuk kerja.
- Sakinah bakal muncul dalam filem Tiket Sehala yang mengangkat kisah mangsa sindiket penipuan kerja luar negara, bersama pelakon dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
Meskipun berjauhan dengan suami atas tuntutan kerja namun, pelakon, Sharifah Sakinah tidak melihat perkara itu sebagai satu penghalang dalam rumah tangganya.
Menurut Sakinah atau nama lengkapnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired meskipun berjauhan namun mereka saling memahami tuntutan kerja masing-masing.
“Suami saya sekarang di Jepun sekarang. Kami masing-masing ‘freelancer’ dan pengkarya, jadi suami saya ada kerja dia dan saya pun ada kerja saya.
“Tapi kami tahu kami akan duduk sebumbung satu hari ini nanti kerana iyalah, kami ada gol masing-masing. Sebab berkarya ini tak puas, saya sentiasa fikir apa lagi saya mahukan selepas ini.
“Suami saya pun sama, dia fikir dia nak lukis lagi apa selepas ini. Jadi kami tak akan berhenti. Kami bukan bekerja tapi sebenar kami berkarya dan kami berkongsi. Kami berkongsi mesej yang baik dan kami sebarkan perkara yang positif,” katanya kepada Gempak.
Sakinah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Filem Tiket Sehala di Confetti Kuala Lumpur, The Mines pada Isnin.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Sujud Terakhir Encik Norman berpendapat bahawa adalah penting untuk dirinya dan suami memberikan sokongan terhadap kerjaya masing-masing.
Malah, dia juga berasa bersyukur kerana suaminya, Cyril Kongo kerana mengizinkan dirinya untuk terus aktif berlakon.
“Saya pernah cakap dengan suami, mungkin saya kena tinggalkan dia dua bulan untuk kerja. Itu pun satu anugerah bila kerana dia memberikan keizinan untuk saya bekerja.
“Awak tak boleh tinggalkan suami awak lebih dua hingga tiga bulan tapi dia benarkan saya bekerja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sakinah bakal tampil menerusi filem Tiket Sehala yang mengangkat kisah mengenai mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
Selain Sakinah, filem yang bakal ditayangkan pada Ogos 2026 ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Jaa Suzuran, Noki K-Clique, Hasnul Rahmat dan Zaki Yamani.
Lebih menarik, filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. ini turut menggabungkan pelakon dari empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.