Skip to main content

Hiburan

Pernah Viral Nyanyi Di Kedai Burger, Ary Hussin Akhirnya Debut Single ‘Luka Terpaling Dalam’ Ciptaan Komposer Edrie Hashim

dh

Sekilas

  • Ary Hussin, bekas peniaga burger yang viral di media sosial, kini melancarkan single pertama berjudul Luka Terpaling Dalam hasil ciptaan komposer legenda Edrie Hashim.
  • Single ini menampilkan muzik sinematik dengan elemen strings dan piano, disesuaikan dengan vokal unik Ary yang kaya identiti Melayu.
  • Ary berharap lagu ini diterima baik oleh peminat selepas mendapat perhatian melalui program Gimme The Mic dan menandatangani kontrak rakaman pada 2025.

Penyanyi baharu yang mula mencuri perhatian di media sosial, Ary Hussin akhirnya melangkah ke dunia hiburan arus perdana dengan pelancaran single pertamanya berjudul Luka Terpaling Dalam, ciptaan komposer legenda, Edrie Hashim.

Ary atau nama sebenarnya Muhammad Hadzri Hussin, 40, sebelum ini hanya dikenali sebagai peniaga burger yang sering tular kerana vokalnya yang padu ketika mendendangkan lagu-lagu popular di media sosial.

Pelancaran single tersebut turut disertai tayangan perdana muzik video rasmi arahan Syazwan Zazlan daripada A7 Entertainment, yang ditonton buat pertama kali oleh Ary bersama para media.

Menurut komposer Edrie, Luka Terpaling Dalam dicipta mengikut keunikan vokal Ary yang kaya dengan identiti Melayu.

Katanya lagi, walaupun lagu ini berbicara soal emosi dan patah hati, susunan muzik yang menampilkan permainan strings dan piano menjadikan ia lebih sinematik dan kontemporari.

“Saya hasilkan karya ini berdasarkan kekuatan suara Ary. Ada rasa klasik tetapi tetap segar, sesuai dengan pendengar masa kini,” jelasnya.

Bagi Ary, bekerja bersama idola muziknya sejak muda adalah detik paling bermakna dalam hidup.

“Memiliki single sendiri adalah sesuatu yang tak pernah saya bayangkan. Lagi-lagi bila ia dihasilkan oleh legenda seperti Edrie Hashim. Saya terharu dan bersyukur,” katanya.

Ary turut berharap Luka Terpaling Dalam diterima peminat kerana ia dihasilkan dengan penuh ketelitian.

Bakat Ary mula diberi perhatian selepas penyertaannya dalam program Gimme The Mic terbitan Astro pada 2024, sebelum menerima kontrak rakaman pada awal 2025.

Must-Watch Video

Advertisement