Skip to main content

Selebriti

Pergi Dalam Keadaan Tenang, Suami Amyza Aznan Syukur Dapat Temani Arwah Hingga Nafas Terakhir - “Dia Anak Yang Baik…”

AstroGempak suami Amyza

Sekilas

  • Khairil Idzhar Md Nazir reda dengan pemergian anak sulungnya, Andre Mikhail, selepas setahun melawan kanser paru-paru tahap tiga.
  • Andre berada dalam keadaan kritikal sebelum meninggal dunia dalam keadaan tenang dan disedari oleh keluarga.
  • Khairil sentiasa menemani Andre sepanjang tempoh sakit walaupun dirinya kurang sihat, dan bersyukur anaknya pergi pada bulan Ramadan.

Suami kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Khairil Idzhar Md Nazir reda dengan pemergian anak sulungnya, Andre Mikhail selepas setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga.

Menurut Khairil, keadaan anaknya semakin kritikal sejak Ahad dan pihak keluarga telah dimaklumkan lebih awal untuk bersedia.

“Semalam lagi kami dah diberitahu yang keadaan anak agak kritikal, dan kami memang sentiasa tunggu saja sehingga habis,” katanya.

Khairil mendedahkan anaknya berada dalam keadaan seperti ditidurkan walaupun masih sedar, namun tidak lagi mampu berbicara sehingga ke nafas terakhir.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan dan anaknya pergi dalam keadaan yang tenang.

“Dia seorang anak yang sangat baik. Kami tak dapat bercakap dengan dia. Seperti ditidurkan walaupun dia sedar. Dan tak dapat bercakap sehinggalah nafas terakhir dia.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Dan perginya anak yang soleh ini, terlalu mudah bagi saya. Kerana dia pergi, saya ada di sebelah,” ujarnya.

Khairil turut berkongsi bahawa anaknya telah setahun melawan penyakit kanser dan sepanjang tempoh itu beliau sentiasa berada di sisi walaupun dirinya sendiri kurang sihat.

“Anak saya ni setahun dia melawan sakit kanser dia, dan saya bersama menemani dia walaupun keadaan saya pun tidak berapa sihat. Alhamdulillah, saya berpuas hati dapat membantu dia menangani masalah sakit dia.

“Itu yang menguatkan saya, perginya anak saya di bulan Ramadan. Alhamdulillah,” tambahnya.

Terdahulu, anak kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Andre Mikhail dimaklumkan telah mengembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.

Berita sedih itu diumumkan sendiri oleh Amyza menerusi kemas kini di Instagram Stories pada Isnin.

Must-Watch Video

Advertisement