Skip to main content

Festival

Penyanyi Jazz Rayme Zainal Fokus Pengurusan Acara, Bakal Anjur Gema Raya Putrajaya Sepanjang Ramadan

rayme

Sekilas

  • Rayme Zainal kini fokus dalam bidang perniagaan sebagai penganjur acara melalui syarikat Raydiates Blue Sdn. Bhd. yang mula mendapat kepercayaan pelanggan besar sejak penubuhan pada 2023.
  • Raydiates berjaya menganjurkan pelbagai acara berskala besar seperti Bazar Aidilfitri Anjung Syawal, Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta, dan Karnival BSN Mikro Madani, menarik ribuan pengunjung dan memberi impak positif kepada peniaga.
  • Untuk tahun 2026, Raydiates merancang menganjurkan Gema Raya Putrajaya 2026@PICC selama 33 hari dengan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung, menyasarkan acara bertaraf nasional dan antarabangsa selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Walaupun sudah lama bertapak dalam industri seni sebagai penyanyi jazz, Rayme Zainal mengakui kini lebih memberi fokus kepada bidang perniagaan, khususnya sebagai penganjur acara.

Menurut pelantun lagu Andai dan Close To You itu, kerjaya sebagai pengurus acara atau event organiser (EO) menawarkan jaminan pendapatan yang lebih stabil, selain prospek industri yang dilihat semakin berkembang di Malaysia.

Peserta program realiti All Together Now (2022) itu menjelaskan, syarikat miliknya, Raydiates Blue Sdn. Bhd. (Raydiates) yang ditubuhkan pada 2023, kini mula mencipta nama apabila mendapat kepercayaan pelanggan besar daripada sektor kerajaan dan swasta.

Buktinya, pada tahun lalu Raydiates diberi tanggungjawab mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal, sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025, yang mencatat kehadiran luar biasa.

Bazar terbesar di Lembah Klang itu mencetuskan fenomena apabila menarik lebih satu juta pengunjung sepanjang 32 hari penganjuran, dengan pelbagai produk ditawarkan pada harga berpatutan.

Kejayaan tersebut turut memberi impak positif kepada peniaga apabila beberapa lot gerai dilaporkan mencatat jualan sehingga RM100,000, sekali gus menjadikan Anjung Syawal destinasi utama persiapan Aidilfitri di Malaysia.

Selain itu, Raydiates turut aktif menganjurkan acara berskala besar lain seperti Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta 2025 yang menghimpunkan hampir 300 lot niaga sempena Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 selama lima hari di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rayme juga berjaya menganjurkan acara Fun Run dengan penyertaan hampir 1,000 peserta hasil kerjasama bersama Anytime Fitness Hampshire dan SimplySiti sebagai rakan strategik, selain kemunculan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tidak terhenti di situ, Raydiates terlibat dalam penganjuran Karnival Anjung E.A.T.S sempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2025 yang berlangsung selama lima hari dan menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Syarikat milik Bumiputera itu turut bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam menganjurkan Karnival BSN Mikro Madani Zon Pantai Timur di Pasar Payang, Terengganu, sebagai usaha memperkasa usahawan mikro.

Bagi pembuka tirai tahun 2026, Rayme bersedia menganjurkan Gema Raya Putrajaya 2026@PICC yang bakal mencipta sejarah sebagai festival raya terbesar pertama di puncak tertinggi Putrajaya, bermula 15 Februari selama 33 hari.

Menurutnya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dipilih kerana bangunan ikonik itu dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi dan fasiliti bertaraf antarabangsa yang sesuai untuk penganjuran acara berskala besar.

Rayme berkata, Raydiates kini menyasarkan penganjuran acara bertaraf nasional dan berskala besar bermula tahun ini bagi merancakkan industri pelancongan negara.

Langkah itu diambil bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui festival seni dan budaya dengan sokongan agensi kerajaan serta kerjasama sektor korporat.

Katanya, bermula dengan Gema Raya Putrajaya 2026, festival Ramadan dan Raya selama 33 hari itu dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Festival tersebut menggabungkan elemen keusahawanan, seni budaya, program kerohanian dan inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor serta jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.

Ia sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai destinasi utama Ramadan dan Raya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Mengulas lanjut, Rayme mengakui industri penganjuran acara sangat kompetitif, namun beliau tetap berhasrat memperkukuh kedudukan Raydiates sebagai peneraju festival dan platform ekonomi kreatif rakyat melalui rangkaian acara berskala nasional dan antarabangsa bermula 2026.

Katanya, meskipun pernah berkongsi pentas dalam Konsert Destiny Of Music bersama artis seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Kugiran Masdo dan Haziq Rosebi, tumpuannya kini lebih terarah kepada penganjuran karnival makanan rakyat, seni budaya, gaya hidup sihat serta inisiatif keusahawanan dan kebajikan komuniti.

“Sejajar dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), Raydiates berharap akan memperluas kerjasama strategik bersama kementerian, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti kreatif.

“Ia bagi menjadikan acara-acara anjuran syarikat sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan, pemerkasaan usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta platform pembangunan bakat belia dan kandungan kreatif berimpak tinggi di Malaysia dan peringkat antarabangsa,” katanya

Must-Watch Video

Advertisement