Ringkasan AI
Filem tempatan berjudul Pavane for an Infant dipilih secara rasmi untuk mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi (Oscars) ke-98 bagi kategori Best International Feature Film yang dijadual berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun 2026.
Perkara itu diumumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi satu kenyataan rasmi di laman Instagram mereka hari ini.
Menurut FINAS, pemilihan filem tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) FINAS yang terdiri daripada barisan profesional serta individu berpengalaman dalam industri perfileman tempatan.
Penilaian dilakukan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS), badan rasmi yang menganjurkan anugerah berprestij dunia itu.
“Pemilihan Pavane for an Infant sebagai wakil Malaysia mencerminkan potensi besar sinema tempatan yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“FINAS akan terus komited memperkasakan bakat dan karya tempatan agar terus cemerlang di pentas dunia,” tulis kenyataan itu.
Filem arahan pengarah terkenal Chong Keat Aun dan terbitan Janji Pictures Production Sdn. Bhd. itu sebelum ini telah meraih pelbagai pengiktirafan di festival filem antarabangsa
Antaranya termasuk Youth Jury Award di 39th Fribourg International Film Festival 2025 dan Golden Silk Road Award (Best Screenplay) di 12th Silk Road International Film Festival.
Selain itu, Pavane for an Infant turut ditayangkan dan bertanding di beberapa festival filem berprestij dunia seperti 49th Hong Kong International Film Festival (2025), 44th Istanbul International Film Festival (2025), 24th New York Asian Film Festival (2025), Taipei Golden Horse Film Festival (2024) serta 37th Tokyo International Film Festival (2024) di mana ia membuat tayangan perdana dunia dalam segmen Asian Future Competition.
Pemilihan karya Chong Keat Aun itu sekali lagi membuktikan kemampuan penggiat seni tanah air dalam menghasilkan karya bermutu tinggi yang mampu berdiri sebaris dengan filem antarabangsa lain.