Pelakon, Shasha Abedul, tampil berkongsi beberapa pantang larang yang diamalkan dalam rumah tangganya.
Antaranya termasuk tidak gemar apabila pasangan enggan mengakui kesalahan atau gagal meminta maaf selepas melakukan kesilapan.
Advertisement
Menurut Shasha, sikap saling memaafkan penting dalam perhubungan kerana ia menjadi asas kepada kebahagiaan dan ketenangan hati dalam rumah tangga.
“Kalau nak cakap dari segi emosi, bila ada salah, kena acknowledge that matter dan terus minta maaf.
“Memaafkan itu penting sebab hati jadi tenang. Dari situ kita belajar daripada kesilapan dan berkembang untuk jadi versi diri yang lebih baik,” katanya kepada Gempak.
Pelakon drama Exit itu juga berkata, antara perkara penting dalam perkahwinan adalah saling memahami, bertolak ansur dan jujur antara satu sama lain.
“Kena sentiasa ada untuk satu sama lain, tolong-menolong terutama waktu susah.
“Pantang saya satu je, jangan tak minta maaf lepas buat salah,” selorohnya.
Shasha turut menegaskan bahawa keterbukaan antara pasangan amat penting agar hubungan tidak menjadi tegang.
“Kalau sorok apa-apa daripada pasangan, benda boleh jadi keruh. Jadi saya rasa lebih baik jujur dari awal,” ujarnya.
Terdahulu, Shasha selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Adam Ghazali, selepas tujuh bulan mengikat tali pertunangan.
Pelakon itu sebelum ini mengejutkan peminat apabila berkongsi khabar pernikahan, memandangkan awal tahun lalu dia pernah menyatakan masih solo dan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya.
Dalam pada itu, Shasha kini bakal tampil menerusi filem seram terbaharu Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofea Jane, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.
Filem itu mengisahkan Mawar (lakonan Shasha), seorang gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah. Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.