Kumpulan Alpha meluahkan rasa syukur apabila lagu P. Ramlee Saloma menerima sambutan luar biasa daripada peminat muzik tempatan.
Mewakili Alpha, Rizal Rasid mengakui mereka tidak menyangka karya tersebut bakal mencipta gelombang besar selepas kejayaan lagu terdahulu, Monalisa.
Advertisement
“Alhamdulillah dengan sambutan yang kami terima menerusi tontonan yang sangat banyak, kami memang tak sangka lagu ini akan jadi sebesar ini selepas Monalisa.
“Jika ada rezeki yang lebih besar untuk P Ramlee Saloma sudah semestinya kami mahukannya,” kata Rizal kepada Gempak.
Dalam masa sama, seorang lagi anggota Alpha, Daniel Sher, turut berkongsi keterujaan apabila ramai netizen berharap lagu tersebut dapat mara ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Kami memang tak sangka ramai netizen nak lagu ini masuk ke Anugerah Juara Lagu, kalau tanya kami sememangnya kami juga berharap sebab ia adalah satu pencapaian yang besar untuk kami sebagai kumpulan Alpha,” Ujar Daniel Sher.
Mengulas lanjut, Rizal menegaskan bahawa karya ciptaan Mukhsin dan Justin itu sememangnya layak diberi peluang untuk bersaing di pentas tersebut.
“Bagi pendapat peribadi saya, lagu ini memang layak untuk dipertandingkan di AJL sebab apa komposer Justin Seow dan Mohsein Kushdah buat ini semestinya layak untuk dipertandingkan jika ada rezeki kami di pentas itu nanti,” tambah Rizal.
Terdahulu, ramai peminat memuji P. Ramlee Saloma dan berharap karya itu terus melangkah jauh serta diangkat ke pentas AJL.
Menariknya, lagu tersebut turut mencipta sejarah apabila menjadi lagu Malaysia ke-7 yang melepasi 100,000 strim harian di Spotify Malaysia pada tahun 2025, selain menjadi lagu Malaysia ke-5 yang pernah mencapai tangga #1 dalam sejarah carta Spotify Malaysia Daily Top Songs.
Kumpulan Alpha dianggotai oleh Daniel Sher, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Izzat Ibrahim, Ray-D, Araff dan Sky.