Skip to main content

Berita Tempatan

Norman Hakim, Memey Suhaiza Bintangi MV InTeam 'Satukan Kami Di Syurga', Netizen Puji! - "Best Sangat"

inteam

Sekilas

  • Inteam kembali dengan lagu baru berjudul Satukan Kami Di Syurga yang penuh emosi dan harapan, hasil kolaborasi komposer Farouk Roman dan penulis lirik Fedtri Yahya.
  • Lagu ini menggabungkan sentuhan kontemporari dengan vokal nasyid Inteam, membawa mesej universal yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
  • Muzik video menampilkan pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak-anak mereka, kini boleh ditonton di YouTube dan platform penstriman digital sejak 6 November 2025.

Kumpulan nasyid tersohor, Inteam, kembali menghadirkan sebuah karya baharu berjudul Satukan Kami Di Syurga, lagu yang sarat emosi dan sarat pengharapan.

Naskhah istimewa ini digarap oleh komposer prolifik Farouk Roman, manakala lirik penuh makna ditulis oleh personaliti TV dan penulis terkenal, Fedtri Yahya.

Kolaborasi ini dianggap sebagai pertembungan dua dunia, apabila sentuhan kontemporari Farouk Roman yang pernah menghasilkan lagu-lagu hit untuk Khai Bahar, Hazama dan Datuk Siti Nurhaliza digabungkan dengan kehalusan vokal nasyid Inteam.

Bagi Inteam, kerjasama ini menjadi satu pembaharuan yang menyegarkan perjalanan seni mereka.

Hazamin berkata, “Kami benar-benar berharap lagu ini mampu mencipta fenomena dan dekat di hati pendengar.”

Syah turut menyifatkan lagu tersebut sebagai karya yang merentas generasi.

“Mesejnya universal, melodinya mudah diterima dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Rahim pula melihat lagu ini sebagai nafas baharu Inteam.

“Ia punya potensi besar untuk pergi jauh. Lagu ini sangat kuat dari segi jiwa dan penyampaian,” ujarnya.

Hisyam menambah, “Ini bukan lagu yang sekadar dinyanyikan. Ia menuntut rasa dan keikhlasan untuk benar-benar sampai ke hati.”

Menjadikan pelancaran lebih bermakna, muzik video Satukan Kami Di Syurga menampilkan pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak-anak mereka, menandakan kemunculan semula keluarga ini dalam muzik video Inteam selepas kali terakhir muncul menerusi lagu DIA pada 2019.

Norman mengakui keterlibatannya membawa makna sentimental.

“Saya sangat bersyukur diberi peluang kembali bekerjasama dengan Inteam. Lagu ini sangat menyentuh hati,” katanya.

Mengangkat tema kasih sayang, doa dan pengharapan agar dipertemukan semula di syurga bersama insan tersayang, lagu ini hadir tepat pada masanya, ketika dunia semakin memerlukan karya yang menenangkan dan menguatkan jiwa.

Satukan Kami Di Syurga kini boleh ditonton di YouTube Inteam Digital dan didengarkan melalui semua platform penstriman digital utama bermula 6 November 2025.

Must-Watch Video

Advertisement