Skip to main content

Berita Tempatan

Noraniza Idris Perkenal AKZ6.0, Angkat Zapin Sebagai Warisan Ilmu Generasi Baharu - "Saya Bukan Adiguru, Saya Hanya Penyambung Legasi"

ASTRO GEMPAK kakani zapin

Sekilas

  • Noraniza Idris lancar Zapin Living Lab – Akar Kita Zapin (AKZ) 6.0 sebagai platform pendidikan budaya untuk memartabatkan warisan zapin Melayu.
  • AKZ6.0 memperkenalkan konsep Tingkah Laga Zapin yang menekankan ilmu, strategi, adab dan komunikasi dalam seni zapin tradisional.
  • Program ini menghimpunkan pewaris tujuh aliran Zapin Warisan Johor dan melibatkan 380 peserta dari beberapa negeri dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selepas hampir 30 tahun memperjuangkan seni dan budaya Melayu, penyanyi irama tradisional, Noraniza Idris terus mengorak langkah memperkasakan warisan negara menerusi pelancaran Zapin Living Lab – Akar Kita Zapin (AKZ) 6.0.

Program yang berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana itu menjadi platform pendidikan budaya yang menghubungkan pemindahan ilmu warisan, pembangunan komuniti, industri kreatif dan pelancongan budaya sempena aspirasi Visit Malaysia 2026.

Menurut Noraniza yang juga Pengasas Akar Kita Zapin (AKZ), penganjuran musim keenam itu tampil dengan pendekatan baharu menerusi konsep Tingkah Laga Zapin, iaitu satu disiplin permainan zapin tradisional Melayu yang menekankan aspek ilmu, strategi, adab, komunikasi dan kebijaksanaan.

Katanya, masyarakat hari ini lebih mengenali zapin sebagai persembahan pentas, sedangkan seni tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada budaya hidup masyarakat Melayu sejak dahulu.

"Saya masih ingat ketika berusia sekitar tujuh tahun, arwah datuk menunjukkan kepada saya bagaimana orang-orang tua bermain zapin. Ketika itu saya belum memahami sepenuhnya maksud permainan tersebut.

"Apabila dewasa, saya mula menyedari bahawa zapin bukan sekadar tarian, tetapi sebuah sistem ilmu yang sangat tinggi nilainya," katanya.

Tambah Noraniza, konsep Tingkah Laga Zapin sering disalah tafsir sebagai pertandingan atau perbalahan, sedangkan ia mengajar peserta memahami strategi, disiplin, komunikasi dan kesantunan dalam budaya Melayu.

"Tingkah Laga bukan perbalahan. Tingkah Laga ialah kebijaksanaan Melayu.

"Dalam budaya Melayu, kemenangan bukan hanya diukur melalui kehebatan. Kita diajar menghormati lawan, menjaga maruah, berfikir sebelum bertindak dan sentiasa mengutamakan adab," katanya.

Antara keistimewaan AKZ6.0 ialah buat pertama kali ia menghimpunkan pewaris tujuh aliran Zapin Warisan Johor dalam satu modul pembelajaran bagi memberi peluang kepada peserta memahami sejarah, falsafah dan identiti di sebalik setiap aliran zapin.

Tujuh penerus dan pewaris yang terlibat ialah Mohamad Akmal Zainal Abidin mewakili Zapin Pekajang, Majid Rawino (Zapin Lenga), Mohamad Faizal Abas (Zapin Koris), Profesor Dr. Mohd Anis Md. Nor (Zapin Melayu Johor), Diana Sulaiman (Zapin Seri Bunian), Noliza Salleh (Zapin Tenglu) dan Zubaidah Keliwon (Zapin Parit Mastar).

"Saya bukan adiguru. Saya hanyalah penyambung legasi yang diberi amanah untuk mempertemukan pewaris dengan generasi pelapis agar ilmu mereka terus hidup," katanya.

Program itu turut disertai seramai 380 peserta dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak menerusi bengkel percuma yang berlangsung sepanjang hari.

Penyertaan program tersebut turut mendapat pengiktirafan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia melalui pensijilan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Selain bengkel dan sesi perkongsian ilmu, pengunjung turut disajikan dengan demonstrasi Tingkah Laga Zapin, persembahan khas Noraniza Idris bersama Ikon Tari AKZ6.0, penampilan penyanyi Azmir Arif serta sesi perkongsian daripada tokoh dan pewaris zapin.

Penganjur menyasarkan kehadiran lebih 1,000 pengunjung sepanjang program berlangsung sekali gus menjadikan Zapin Living Lab – AKZ6.0 sebagai antara platform yang memperkasakan warisan Melayu menerusi pendidikan, industri kreatif dan pelancongan budaya.

Majlis pelancaran AKZ6.0 akan disempurnakan oleh Penaung Akar Kita Zapin (AKZ), YM Tengku Dato' Dr. Hishammuddin Zaizi bin Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, yang sejak 2012 konsisten menyokong pembangunan Akar Kita Zapin sebagai platform pemeliharaan warisan budaya negara.

Dalam majlis sama, Kopi King yang merupakan penaja utama AKZ6.0 turut memeterai kerjasama strategik dengan melantik Noraniza Idris sebagai Duta Jenama Kopi King. Menurut Noraniza, sokongan sektor korporat membuktikan warisan budaya bukan sahaja mempunyai nilai sejarah, malah mampu berkembang sebagai sebahagian daripada ekonomi kreatif negara.

Penganjuran AKZ6.0 turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia, yang mengiktiraf penyertaan program ini di bawah pensijilan PAJSK.

Anda mungkin berminat dengan

Charlotte Tilbury Airbrush Flawless Setting Spr-ay [100ml x1 / x2, 200ml x1, 34ml x2, Matte 100ml]

Charlotte Tilbury Airbrush Flawless Setting Spr-ay [100ml x1 / x2, 200ml x1, 34ml x2, Matte 100ml]

YSL Yves Saint Laurent Le Cushion Encre De Peau SPF23PA++ (#20) (5g)

YSL Yves Saint Laurent Le Cushion Encre De Peau SPF23PA++ (#20) (5g)

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

GARNIER COLOR NATURALS ULTRA COLOR HAIR DYE COLOUR 20ML/30ML

GARNIER COLOR NATURALS ULTRA COLOR HAIR DYE COLOUR 20ML/30ML

LANEIGE Lip Sleeping Mask

LANEIGE Lip Sleeping Mask

Must Watch Video

Advertisement