Sekilas
- Nora Danish melancarkan koleksi denim eksklusif hasil kolaborasi bersama jenama tempatan Marii by Farra dengan sokongan platform Amber.
- Koleksi ini menampilkan rekaan jeans yang menggabungkan gaya, keselesaan dan keanggunan sesuai untuk wanita moden dalam pelbagai suasana.
- Amber berperanan sebagai platform strategik untuk memperluaskan pasaran dan mengangkat nilai kreativiti pereka fesyen tempatan.
Pelakon dan ikon fesyen tanah air, Nora Danish, melancarkan kolaborasi istimewa Nora Danish x Marii for Amber, sebuah koleksi denim jeans eksklusif hasil kerjasama bersama jenama fesyen tempatan Marii by Farra dengan sokongan platform fesyen Amber.
Koleksi ini menampilkan denim jeans dengan pelbagai rekaan dan siluet, direka khas untuk memenuhi keperluan wanita moden yang mengutamakan gaya, keselesaan dan keanggunan dalam satu helaian.
Setiap rekaan menggabungkan potongan kemas, perincian halus serta sentuhan sofistikated yang menjadi identiti Marii, sekali gus disesuaikan dengan cita rasa dan personaliti Nora Danish.

Kolaborasi ini menyatukan kepakaran rekaan Marii dengan visi Amber sebagai jenama fesyen yang menyediakan platform strategik untuk memperluaskan koleksi tempatan ke pasaran lebih luas, sekaligus mengangkat nilai kreativiti pereka tempatan ke tahap lebih tinggi.
Marii merupakan sebuah rumah fesyen pereka yang diasaskan oleh Farra, dikenali dengan rekaan yang menekankan elemen keanggunan, kesopanan dan kehalusan siluet.

Walaupun berteraskan konsep elegan dan demure, koleksi denim ini diberi nafas kontemporari melalui eksplorasi potongan, tekstur dan perincian, menjadikannya sesuai untuk digayakan secara kasual mahupun semi-formal.

Menurut Nora Danish, penglibatannya dalam kolaborasi ini lahir daripada keinginannya untuk terus menyokong dan memperkasakan jenama tempatan.
“Saya sentiasa terbuka dan bersedia untuk membantu mana-mana jenama tempatan yang mempunyai visi dan kualiti tersendiri. Saya sangat teruja dapat bekerjasama dalam projek ini, apatah lagi Marii diasaskan oleh Farra yang sememangnya kenalan rapat saya. Melihat hasil kerja beliau berkembang dan diberi platform yang betul adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.
Tambah Nora, koleksi denim ini dihasilkan dengan mengambil kira keperluan wanita yang mahukan helaian versatil, mudah digayakan dan sesuai untuk pelbagai suasana, tanpa mengorbankan elemen feminin dan elegan.

Sementara itu, Amber yang diasaskan oleh Datuk Adzliana Dato' Sri Dr Hasan memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dan pemangkin kepada kerjasama ini.
Dengan sokongan Datuk Adzliana, Amber terus komited dalam memberi peluang kepada pereka dan produk tempatan untuk berkembang secara lestari serta berdaya saing dalam industri fesyen.
“Amber percaya kepada potensi jenama tempatan. Kami mahu menjadi platform yang membantu rekaan tempatan, termasuk koleksi denim ini, diperluaskan bukan sahaja dari segi pasaran tetapi juga dari sudut nilai dan penceritaan jenama,” kata wakil Amber.

Dari segi identiti jenama, Marii by Farra menampilkan personaliti seorang wanita yang anggun, sopan dan berkeyakinan, namun pada masa sama sentiasa mencari elemen yang menyeronokkan dan segar dalam gaya.

Pendekatan ini sejajar dengan koleksi denim Nora Danish x Marii for Amber yang mensasarkan pengguna kelas pertengahan hingga tinggi yang menghargai fesyen beridentiti, berkualiti dan praktikal.
