Pelakon, Nora Danish memilih untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai kehidupan peribadi bekas suaminya, Nedim Aziz.
Menurut Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd Danish Hanif dia tidak mahu mencampuri urusan peribadi Nedim dan berpendapat setiap individu berhak menentukan haluan hidup masing-masing.
“Okey, tentang perhubungan bekas suami saya, Nedim Nazri Aziz, dan juga hidupnya, Nora pun tak nak masuk campur, tak nak komen sebab itu adalah hidupnya. Cuma saya boleh katakan dia berhak menemui cinta dan juga kebahagiaan dia sendiri,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Nora turut menegaskan bahawa dia sentiasa mendoakan yang terbaik dan Nedim juga berhak mencari bahagiannya sendiri.
“Saya memang mendoakan yang terbaik buat Nedim sebab dia berhak bahagia dengan siapa pun pilihan hati dia,” tambahnya.
Terdahulu, bekas suami kepada pelakon, Nora Danish iaitu Nedim Nazri menyorot perhatian netizen selepas berkongsi gambar bersama aktres, Nadia Brian.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Nedim dilihat turut menggunakan kapsyen romantik pada foto tersebut.
Sekadar info, Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl.
Bagaimanapun, selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan itu disahkan bercerai talak satu pada 19 Jun 2024 di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.