Sekilas
- Kamal Adli memuji filem Mikael: Pemburu Dua Alam sebagai karya penuh aksi tanpa henti dengan kualiti teknikal seperti solekan dan CGI yang memuaskan.
- Kamal turut mengakui persembahan pelakon dalam filem itu sangat bagus dan kerja keras mereka berbaloi ditonton.
- Remy Ishak membalas pujian Kamal dengan gurauan mengenai watak baru dalam sekuel akan datang, sambil mengajak penonton menonton filem tersebut yang sudah ditayangkan sejak 2 April.
Pelakon, Kamal Adli memuji filem terbaharu lakonan Remy Ishak iaitu Mikael: Pemburu Dua Alam.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Kamal mengakui dia berpuas hati selepas menonton filem berkenaan dan menyifatkan naskhah tersebut sebagai sebuah karya yang sarat dengan aksi tanpa henti.
Malah, Kamal juga turut memuji kualiti keseluruhan produksi termasuk aspek teknikal seperti solekan dan kesan visual yang disifatkannya berada pada tahap memuaskan.
“Salam rakyatku sayang. Okay nak cerita saya dah pergi tengok cerita Mikael ni.
“Ini tak sama langsung dengan ngn pemburu Yamashita. Cerita penuh dengan action pack! Non non stop ya.
“Make up padu, CGI kemas. Persembahan bagus dari semua pelakon. Nampak kerja keras berbaloi dalam drama ni,” coretnya.
Namun Kamal bagaimanapun sempat berseloroh dan menyatakan ‘kekurangan’ dalam filem tersebut adalah ketiadaan dirinya sebagai pelakon.
“Yang kurang sebab tak ada Kamal Adli, saya minat dia. Kudos to my brotha Remy Ishak dan semua kawan-kawan pelakon lain. Pengarah tahniah, korang pergi lah tengok, okay rakyat,” tulisnya.

Lebih mencuit hati apabila kenyataannya itu kemudiannya dibalas oleh pelakon utama filem tersebut yang merupakan sahabatnya, Remy.
“Wow abang Kamal datang tengok cerita saya lah you all. Terima kasih mal. Ada watak JIN 21 nanti mal. ON?” usiknya.

Mikael Pemburu Dua Alam telah pun ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 April dan dibintangi oleh Remy Ishak, Norreen Iman, Fabian Loo, Alicia Amin dan ramai lagi.
Sumber: Threads @kamaladli