Sekilas
- Datuk Nora Ariffin menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya, Dr Rushdi, dan memilih untuk meneruskan perkahwinan mereka.
- Mahkamah meluluskan penarikan balik kes dengan syarat tiada gangguan daripada pihak ketiga, dan Nora diberi nasihat untuk melindungi diri jika berlaku gangguan.
- Kes ini ditarik balik tanpa kos, dan Dr Rushdi menyifatkan keputusan ini sebagai detik yang membahagiakan bagi mereka berdua.
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin menarik balik permohonan cerai yang difailkan terhadap suaminya, Dr Rushdi pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor pagi ini.
Peguam syarie yang mewakili Dr Rushdi, Azmi Mohd Rais berkata, Nora selaku plaintif memutuskan untuk menarik balik kes tersebut kerana mahu meneruskan perkahwinannya bersama defendan.
“Plaintif Datuk Nora telah menarik balik kes ini dan ingin meneruskan perkahwinan dengan defendan.
“Sebelum permohonan penarikan balik dibuat, beliau memohon agar penarikan tersebut dibuat secara bersyarat, iaitu tiada sebarang gangguan daripada pihak ketiga,” katanya kepada media.
Menurut Azmi, Yang Arif Hakim Syarie, Ahmad Faizul Ashar telah meluluskan permohonan berkenaan serta menasihatkan Nora mengenai haknya untuk melindungi diri sekiranya berlaku gangguan pada masa hadapan.
“Yang Arif Hakim turut menasihatkan Puan Nora bahawa beliau mempunyai hak untuk memfailkan injunksi tegah ganggu terhadap mana-mana pihak ketiga, selain boleh memfailkan kes gangguan (nuisance) di mahkamah sivil sekiranya perlu,” jelasnya.
Tambahnya, pihak defendan, juga menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkan hari ini sebagai detik yang membahagiakan buat Dr Rushdi.
“Bagi pihak defendan pula, beliau sangat bahagia pada hari ini. Alhamdulillah.
“Beliau juga telah berjanji akan menasihati pihak ketiga tersebut. Kes ini ditarik balik tanpa kos. Alhamdulillah,” ujarnya.
Untuk rekod, pada 21 April tahun lalu, Datuk Nora memfailkan permohonan perceraian selepas tercetus beberapa konflik susulan hantaran di Instagram miliknya yang memaparkan video lafaz cerai oleh Dr Rushdi terhadapnya.
Bagaimanapun, selepas sebulan mengumumkan penceraian tersebut, Nora memaklumkan dia dan suami telah kembali rujuk.
Imbas kembali, pada 2021, Datuk Nora mengesahkan dirinya sah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.
Sebelum itu, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Allahyarham Johan Nawawi meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.