Skip to main content

Viral

Nilam Ortiz Tunai Umrah Ketika Berpantang - "Ini Peluang Terbaik Untuk Saya 'Bercakap' Dengan Allah"

nilam_ortiz_umrah

Sekilas

  • Pelakon dan usahawan Nur Nilam Ortiz berangkat ke Tanah Suci menunaikan umrah walaupun masih berpantang selepas melahirkan anak.
  • Nilam menganggap peluang ini sebagai hadiah istimewa dari Allah untuk mencari ketenangan dan bermuhasabah diri di Mekah.
  • Walaupun ingin tinggal lebih lama, dia terpaksa pulang lebih awal kerana tanggungjawab menjaga anak dan operasi perniagaannya.

Meskipun masih berpantang, pelakon dan usahawan, Nur Nilam Ortiz, berangkat ke Tanah Suci hari ini untuk menunaikan ibadah umrah.

Isteri kepada pelakon Azlan Komeng ini mengakui bahawa pemergiannya ke Mekah adalah satu undangan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata, sebagai satu hadiah yang tidak ternilai daripada Allah yang hadir tepat ketika jiwanya memerlukan ruang dan ketenangan.

“Ada orang yang banyak duit sekalipun belum mampu untuk ke Tanah Suci. Belum dipanggil. Belum diseru. Tetapi apabila saya dijemput pada waktu saya masih berpantang... saya anggap ini peluang terbaik untuk saya ‘bercakap’ dengan Allah tentang semua yang membelenggu hati saya selama ini,” ujar Nilam.

Walaupun pada awalnya Nilam berhasrat untuk tinggal lebih lama di Tanah Suci, tanggungjawab sebagai ibu kepada KJ yang baru sahaja pulih daripada jangkitan kuman dalam darah serta komitmennya terhadap operasi Nilam Empire, membuatkannya akur dengan tempoh perjalanan yang lebih singkat.

“Ikutkan hati, saya mahu berada sebulan di sana. Tapi suami tidak membenarkan, lebih-lebih lagi kerana KJ masih dalam pemantauan. Dua minggu yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk bermuhasabah, mencari ketenangan, dan memohon agar Allah mempermudahkan segala urusan saya sebelum dan selepas ini.

“Saya ingin beribadat sepenuhnya tanpa memikirkan hal dunia. Di depan Kaabah nanti, saya mohon agar segala yang terjadi dan yang bakal berlaku Allah tunjukkan kebenaran," tambahnya.

Sejak melahirkan KJ, Nilam mengakui dirinya semakin banyak bermuhasabah. Dia belajar berdamai dengan diri sendiri, melihat kekurangan dengan penuh keinsafan dan menerima dugaan hidup dengan hati yang lebih terbuka.

“Saya yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Saya hanya mahukan kebenaran dan kemudahan dalam setiap langkah selepas ini. Saya pergi kerana saya ingin bertemu Pencipta saya. Biar Dia yang menyelesaikan segalanya," ujarnya.

Must-Watch Video

Advertisement