Selebriti sensasi Indonesia, Nikita Mirzani dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Negeri Jakarta Selatan pada Selasa, selepas didapati bersalah dalam kes pemerasan dan fitnah terhadap usahawan kosmetik terkenal, Reza Gladys.
Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Kairul Saleh yang mengetuai panel hakim dalam prosiding yang berlangsung pada Selasa.
Advertisement
Menurut beliau, mahkamah memutuskan bahawa Nikita tidak terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan kesalahan pencucian wang, namun terbukti bersalah atas tuduhan pemerasan dan pencemaran nama baik.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan denda sebanyak satu bilion rupiah (RM290,000) kepada tertuduh. Sekiranya denda tidak dibayar, hukuman penjara akan ditambah tiga bulan,” kata Hakim Kairul ketika membacakan keputusan.
Hukuman itu jauh lebih ringan berbanding tuntutan pihak pendakwa raya yang menuntut 11 tahun penjara terhadap pelakon dan personaliti media sosial tersebut.
Kes berprofil tinggi ini bermula apabila Nikita dan pembantunya, Ismail Marzuki atau Mail Syahputra, didakwa mengugut Reza Gladys melalui platform media sosial dengan ancaman untuk menyebarkan kenyataan buruk mengenai produk kecantikan milik Reza sekiranya tidak diberi sejumlah wang.
Menurut keterangan pendakwa, Reza akhirnya menyerahkan wang berjumlah empat bilion rupiah (lebih RM1 juta) secara berperingkat kepada Nikita dan pembantunya sebagai ‘wang tutup mulut’.
Siasatan turut mendedahkan bahawa sebahagian daripada wang itu digunakan oleh Nikita untuk membayar ansuran rumah di kawasan Bumi Serpong Damai (BSD), Tangerang.
Dalam kes itu, pihak pendakwa menuduh Nikita melanggar Pasal 45 ayat (10) huruf A juncto Pasal 27B ayat (2) Undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik (UU ITE) serta Pasal 55 ayat (1) Kitab Undang-undang Jenayah (KUHP).
Bagaimanapun, mahkamah hanya menerima sebahagian pertuduhan dan membebaskan Nikita daripada dakwaan tindak pidana pencucian wang (TPPU).
Selebriti berusia 38 tahun itu kini menjalani tahanan di Penjara Wanita Pondok Bambu, Jakarta Timur, sejak 4 Mac 2025.
Kes berkenaan kembali menarik perhatian umum kerana Nikita, yang terkenal dengan sikap lantang dan kontroversinya di media sosial, sebelum ini sering terpalit dengan pelbagai isu undang-undang serta pertelingkahan dengan selebriti lain. - Agensi