Sekilas
- Seorang wanita warga emas dari Perlis sanggup datang ke Kedah untuk membeli ubat sakit mata yang dikatakan dijual oleh Ustaz Wadi Annuar melalui video palsu menggunakan teknologi AI lip-sync.
- Video palsu itu juga mempromosikan produk lain seperti buah aprikot, ubat sakit lutut, dan air Nabi, menyebabkan ramai terpedaya dan menghubungi Ustaz Wadi untuk penjelasan.
- Ustaz Wadi menegaskan beliau tidak pernah menjual atau mempromosikan produk tersebut dan mengingatkan orang ramai supaya memeriksa kesahihan video sebelum membuat pembelian.
Seorang wanita warga emas sanggup datang dari Perlis ke Kedah hanya semata ingin membeli ubat sakit mata yang disangkakan dijual pendakwah popular, Ustaz Wadi Annuar.
Berita itu dikongsikan sendiri oleh Ustaz Wadi menerusi satu perkongsian di Facebook yang menganggap perkara itu sebagai menyedihkan.
“Baru-baru ini, seorang nenek tua bertongkat datang jauh dari Perlis ke sekolah Ustaz Wadi kerana ingin membeli ubat sakit mata yang kononnya dijual oleh Ustaz.
“Nenek itu memberitahu bahawa dia percaya video iklan yang dibuat dengan AI itu adalah benar-benar daripada Ustaz, padahal ia palsu.
“Kejadian ini sangat menyedihkan kerana menipu dan menganiaya orang tua yang tidak bersalah,” kongsinya.
Bukan itu sahaja, video tersebut yang mendakwa menjual beberapa lagi ubat seperti aprikot, ubat sakit lutut, ‘air nabi’ dan beberapa barangan lain telah membuatkan ramai terpedaya sehingga mereka bertindak menelefon pihak Ustaz Wadi untuk mendapatkan pencerahan.
Selain itu, ramai juga yang menghubungi Ustaz Wadi untuk mengadu bahawa produk seperti buah aprikot yang mereka beli tidak sama langsung dengan apa yang kononnya dipromosikan.
“Mereka terpedaya dengan video yang nampak seolah-olah Ustaz sendiri bercakap mempromosikan buah aprikot, ubat sakit mata, air Nabi, ubat sakit lutut dan sebagainya. Teknologi AI lip-sync digunakan supaya gerakan bibir kelihatan selari dengan ucapan, menjadikan video itu nampak asli.
“Walaupun sebahagian produk itu memang wujud dan sampai ke tangan pembeli, tetapi Ustaz Wadi tidak pernah menjual atau mempromosikannya. Semua iklan itu adalah palsu dan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Di akhir hantaran, Ustaz Wadi berpesan kepada orang ramai untuk memeriksa kesahihan video terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.
Sumber: Facebook Ustaz Wadi Annuar